Dua ditahan tipu khidmat kiriman wang

Gambar kecil: Nurulhuda
Gambar kecil: Nurulhuda
A
A
A

KLANG - Dua individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam penipuan perkhidmatan kiriman wang bernilai RM11,210 di sebuah kondominium di Setapak di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita berusia 30 dan 35 tahun pada jam 3.04 pagi.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu diburu sejak lapan bulan lalu kerana dikehendaki selepas terlibat dengan penipuan terhadap seorang wanita dari Sabah berusia 59 tahun.

"Mangsa telah pergi ke kedai perkhidmatan kiriman wang di Jalan Pos Baru di sini dan berjumpa dengan suspek wanita.

"Mangsa telah menyerahkan wang tunai RM11,210 kepada suspek untuk dihantar ke Indonesia, namun selepas tiga hari mangsa telah menerima panggilan daripada keluarganya memaklumkan wang itu masih belum diterima," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa pergi semula ke kedai tersebut dan suspek berjanji untuk menghantar wang yang dikirim pada keesokan hari.

“Namun sehingga kini, suspek masih belum menghantar wang yang dikirim oleh mangsa.

"Bertindak atas laporan, kita telah menahan suspek wanita yang baharu bekerja dua bulan di kedai tersebut sebelum menahan lelaki selaku penyelia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Nurulhuda menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah.

"Selain itu, orang ramai juga perlu membuat semakan secara terperinci atas syarikat kiriman wang sebelum melakukan apa-apa transaksi dan pembayaran," katanya.