Malaysia nilai semua vaksin Covid-19: Khairy

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia secara berterusan menilai semua jenis vaksin Covid-19 yang dibangunkan termasuk jenis semburan hidung untuk program imunisasi, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, katanya Malaysia ketika ini telah membuat tempahan vaksin Covid-19 yang mencukupi bagi kegunaan penduduknya.

“Malaysia sudah menempah cukup vaksin untuk diberikan kepada 110 peratus populasinya. Jika kemudian kami membuat keputusan bahawa keadaan seperti ini menjadi pandemik dan kemudian kekal di sini sebagai endemik, nampaknya akan ada strategi pemerolehan jangka panjang untuk vaksin,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2, Khairy berkata sebanyak 129 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di seluruh negara penghujung Mei ini.

Ketika ini, katanya terdapat 60 PPV telah diaktifkan di 12 negeri dan yang tertinggi melaksanakan vaksinasi pada fasa kedua ini adalah Pulau Pinang, Pahang dan Sarawak.

Sementara itu, Khairy berkata 1,500 petugas media yang merupakan ahli Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) serta persatuan wartawan Sarawak dan Sabah akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada bulan depan.

Katanya beliau dan Dr Adham telah menerima senarai 1,500 petugas media yang bernaung di bawah NUJ dan persatuan wartawan Sarawak dan Sabah.

"Sukacita diumumkan bahawa kita akan mula vaksinasi kepada petugas media pada bulan Mei," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata kerajaan telah bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan penerima vaksin Covid-19, tertakluk kepada bekalan vaksin yang mencukupi.