Gantung Parlimen: Azalina persoal kenyataan Takiyuddin

Datuk Seri Azalina Othman Said - Foto Bernama
Datuk Seri Azalina Othman Said - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pangerang, Datuk Seri Azalina Othman Said membantah kenyataan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung pembukaan Parlimen.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, alasan yang diberikan oleh Takiyuddin terhadap penangguhan pembukaan Parlimen adalah sesuatu yang wajar dipersoalkan.

"Parlimen adalah badan perundangan tertinggi bagi kerajaan persekutuan meluluskan dan meminda undang-undang persekutuan, memeriksa dan menyoal dasar kerajaan melalui pertanyaan bagi jawab lisan, sesi kamar khas dan waktu pertanyaan menteri serta meluluskan belanjawan dan cadangan cukai baru.

"Sebaliknya, Jawatankuasa Khas Bebas hanya bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat perlu diteruskan atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azalina menambah, ahli Parlimen dan wakil rakyat juga tiada akses kepada prosiding mesyuarat jawatankuasa khas bebas dan jawatankuasa tersebut juga tidak menjalankan siasatan atau inkuiri yang terbuka kepada orang awam.

Pada Isnin, Takiyuddin berkata, semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran yang dibenarkan termasuklah melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, tidak sewajarnya wujud kesangsian atau syak wasangka terhadap berlakunya salah guna kuasa ketika Parlimen digantung kerana sistem kerajaan berfungsi sebagaimana biasa.

Katanya, ia termasuk dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguat kuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kenyataan yang diberikan oleh Takiyuddin bagi menjawab kerisauan rakyat terhadap salah guna kuasa itu disifatkannya seperti ‘melepaskan batok di tangga’.

Jelas beliau, disebabkan itu, tidak pelik apabila PAC Wong Kah Woh mengeluarkan kenyataan mempersoalkan mengenai peranannya setelah mesyuaratnya diarahkan untuk digantung sepanjang tempoh darurat.

"Adakah kenyataan YB Kota Bharu mengatasi dapatan perundangan yang telah diberikan Peguam Negara, dan bererti kegiatan PAC kini boleh diteruskan?

"Seiring dengan ini, adakah kegiatan jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan di Parlimen juga boleh diteruskan?" soalnya.