Sungai Perak bebas ancaman ikan pemangsa

Zaki (tengah) melihat hasil ikan sangkar yang sedia untuk dijual di pasaran tempatan.
Zaki (tengah) melihat hasil ikan sangkar yang sedia untuk dijual di pasaran tempatan.
A
A
A

TELUK INTAN - Sungai Perak bebas daripada sebarang ancaman ikan pemangsa atau ikan spesies asing termasuklah baung ekor merah yang dilaporkan terlepas ke perairan itu dalam kejadian sangkar pecah pada Mac lepas.

Pengarah Perikanan negeri, Zaki Mokri berkata, jaminan diberikan selepas pemeriksaan mendapati kawasan di sepanjang sungai berkenaan adalah terkawal dan tiada ikan spesies asing yang diternak oleh pengusaha ikan sangkar.

"Susulan daripada kejadian sangkar pecah itu, Jabatan Perikanan negeri telah mengambil pendekatan membuat pemeriksaan kesemua hampir 3,000 petak sangkar ikan membabitkan lebih 60 pengusaha di sepanjang jajaran Sungai Perak untuk memastikan tiada spesies ikan asing yang dibela.

"Sekiranya ada, kita akan minta pengusaha ini lupuskan dengan cara menjual terus ikan berkenaan atau memindahkan segera ke kolam tanah agar tidak mudah terlepas.

"Bagaimanapun, daripada pemeriksaan dijalankan, kita dapati spesies-spesies asing ini tidak diternak di sini, kebanyakannya adalah dari jenis ikan tilapia dan ikan patin muncung," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pemeriksaan sangkar ikan di Sungai Perak di Jeti Nelayan Darat Teluk Intan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, dalam kejadian sangkar pecah, 29 Mac lalu, tiga ikan spesies asing telah dikenal pasti terlepas ke Sungai Perak iaitu keli ekor merah (Amazon Red Tail Catfish), baung ekor merah (Asian Red Tail) dan patin srip tinggi (Choa Pharaya Giant Catfish) yang mana dikhuatiri merosakkan ekosistem sungai.

Katanya, sehingga kini, lebih 30 peratus ikan-ikan berkenaan telah berjaya ditangkap semula oleh nelayan sungai dan pemancing, manakala selebihnya telah mati terperangkap dalam sangkar yang remuk dan tenggelam.

"Sebelum ini wujud kebimbangan orang ramai apabila dikatakan banyak spesies ikan pemangsa yang terlepas, tetapi sebenarnya ikan-ikan jenis ini banyak yang mati akibat sangkar pecah dan rosak.

Artikel Berkaitan:

"Ikan-ikan hidup yang terlepas pula tidak akan pergi lebih jauh kerana ia diternak dari kecil dan lambat untuk menyesuaikan dengan persekitaran yang baru.

"Tambahan pula, ikan spesies ini sentiasa menjadi buruan kerana mempunyai nilai pasaran tinggi sekitar RM25 sekilogram, jadi kita harap dalam tempoh ini, nelayan sungai dan pemancing akan terus menangkapnya," katanya.

Mengulas lanjut, Zaki berkata, kebanyakan ikan spesies asing yang dibenarkan dibawa masuk ke negara ini adalah bagi tujuan ikan hiasan, namun ada segelintir pengusaha mengambil kesempatan menternaknya di dalam sangkar bagi membolehkan ikan berkenaan membesar dengan lebih cepat.

Menurutnya, ketika ini jabatan tidak boleh mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan itu kerana tidak termasuk dalam peruntukan akta sedia ada.

"Kalau ternakan sangkar laut, memang kita ada satu akta di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Sistem Kultur Laut) 1990. Berbeza dengan sungai dan tasik yang mana ia tertakluk kepada bidang kuasa negeri.

"Sekarang ini, kerajaan negeri dalam proses untuk mewartakan Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Perak.

"Kita harap ia dapat disegerakan kerana melalui pewartaan itu nanti, bolehlah kita ambil tindakan sekiranya penternak masih ingkar atau didapati melakukan pelanggaran syarat dengan menternak spesies asing dalam sangkar," katanya.