Jenaka rogol: KPM sedia ambil tindakan tegas

Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Bernama
Mohd Radzi Md Jidin. - Foto Bernama
A
A
A

IKUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melakukan siasatan mendalam berhubung isu seorang pelajar perempuan yang tular di media sosial mendakwa guru sekolahnya bergurau berkenaan jenayah rogol.

Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, KPM mengambil serius perkara itu dan tidak akan bertolak ansur sekiranya benar wujud kes sedemikian.

“Kes ini telah menjadi kes polis, tapi kita pun sedang siasat untuk lihat keadaan sebenar dan jika ada kes tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil,” katanya pada sidang akhbar khas berhubung Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Pentaksiran Tingkatan 3 di sini pada Rabu.

Beliau mengulas isu pelajar remaja perempuan menerusi aplikasi TikTok yang mendakwa seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika di dalam kelas semasa membincangkan isu gangguan seksual ketika subjek pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya.

Sementara itu, mengenai penularan virus Covid-19, Radzi berkata, pihaknya telah meminta Kementerian Kesihatan agar kluster pendidikan yang berkait dengan operasi KPM diletakkan berasingan.

Beliau berkata, ini kerana ketika ini kes Covid-19 yang berlaku di semua institut pengajian tinggi, sekolah kerajaan negeri, sekolah swasta, maahad tahfiz dan lain-lain lagi dimasukkan sekali di bawah kluster pendidikan.

“Ini bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat jelas tentang apa sebenarnya berlaku dalam konteks pendidikan, kalau rangkum sekali dan disebut kluster pendidikan, masyarakat lihat seolah-olah semua itu berkaitan dengan sekolah,” katanya.

Ditanya berhubung status pemberian komputer riba di bawah Tabung Cerdik dalam Belanjawan 2021 bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Mohd Radzi menjelaskan, proses pemberian telah dimulakan dan sehingga kini lebih 13,000 unit telah diedarkan kepada pelajar yang layak.

Artikel Berkaitan:

“Proses ini berjalan dengan baik dan kita akan terus melaksanakan pengagihan selebihnya,” katanya.

Mengulas rungutan sesetengah ibu bapa berhubung isu cuti penggal persekolahan tidak diawalkan, Mohd Radzi berkata, berdasarkan pengalaman lepas, KPM berpendapat selagi mana takwim sedia ada boleh dikekalkan, ia tetap akan dikekalkan.

“Kita ada lebih lima juta murid, 500,000 guru, yang mempunyai keluarga masing-masing jadi satu ekosistem besar sebab itu kita cuba kekalkan takwim dan cari pendekatan terbaik,” katanya.

Sebelum ini, KPM membuat pengumuman bahawa sesi pembelajaran selepas cuti hari raya Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah. - Bernama