X

Kindly register in order to view this article
!

Mayat lelaki ditemui terapung di dalam kolam tadahan

Anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan mayat lelaki di kolam tadahan Benteng 2 Segambut, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki ditemui terapung di dalam kolam tadahan Benteng 2 Segambut, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya ditemui oleh orang awam pada 10.45 pagi.

"Ketika dijumpai mayat tersebut lengkap berpakaian baju kemeja lengan pendek berwarna merah belang putih, berseluar jeans kelabu dan kasut kanvas," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Eng Lai berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 50 tahun itu ditemui tersangkut pada pembahagi empangan antara kolam dan sungai.

"Proses untuk mengeluarkan mayat itu sukar kerana ia terapung pada paras permukaan air yang melebihi empat meter.

"Pihak Bomba dan Penyelamat telah dihubungi untuk membantu mengeluarkan mayat dari kolam tadahan air itu," katanya.

Beliau berkata, pihak Forensik Kuala Lumpur yang hadir di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mendapati tiada unsur jenayah ditemui dalam insiden itu.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206 atau pegawai penyiasat Sarjan Kamilan di talian 03-26572222," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!