Najib bukan 'orang dalam' SRC untuk salah guna dana

Najib (kiri) tiba di Mahkamah Rayuan hari ini, bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta. - Foto Bernama
Najib (kiri) tiba di Mahkamah Rayuan hari ini, bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan seorang pengarah atau pengarah bayangan di SRC International Sdn Bhd untuk didapati bersalah menyalahgunakan RM42 juta dana syarikat.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu berkata, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes berkenaan mengguna pakai konsep pengarah bayangan undang-undang sivil dan common law dari England untuk menyabitkan perayu (Najib) bersalah terhadap tuduhan itu.

“Yang Arif, Seksyen 402A Kanun Keseksaan bagi definasi pengarah adalah 'suatu yang serupa dengan pengarah bayangan' tetapi tidak sama seperti di England.

"Najib bukan orang dalam syarikat seperti yang disyaratkan di bawah Kanun Keseksaan untuk melakukan pecah amanah (CBT). Najib adalah orang luar. Pihak pendakwaan juga tidak membuktikan unsur-unsur tuduhan CBT untuk dipanggil membela diri,” katanya.

Peguam itu berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan bekas perdana menteri itu terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menyalahgunakan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Dua lagi hakim ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Muhammad Shafee berkata, hakim yang mendengar kes berkenaan telah terkhilaf dari segi undang-undang dengan mengimport common law dari England untuk melibatkan Ahli Parlimen Pekan itu dengan kesalahan tersebut.

“Perlu dibuktikan bahawa perayu mempunyai kawalan dan diberi kepercayaan dengan RM42 juta untuk didapati bersalah.

Artikel Berkaitan:

“Perayu berhujah bahawa hakim perbicaraan melakukan kesalahan besar dengan bergantung kepada common law dan tersalah dalam bahasa Seksyen 402A Kanun Keseksaan melangkaui makna biasa dari peruntukan itu," katanya sambil menambah bahawa tindakan itu telah menimbulkan prasangka serius dan ketidakadilan terhadap Najib.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Perbicaraan bersambung. - Bernama