Amrin Awaluddin dilantik CEO baharu Tabung Haji

 Amrin Awaluddin
Amrin Awaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Seri Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) bermula pada 6 Mei.

Lembaga TH dalam kenyataan memaklumkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersetuju melantik Amrin sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang baharu.

“Datuk Seri Amrin mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat dan memulakan karier beliau di institusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad serta Putera Capital Berhad.

“Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif antaranya di Natseven TV Sdn Bhd (NTV7), Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Media Prima Berhad, Sime Darby Property Berhad, Boustead Holdings Berhad dan LTAT,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Selain itu, beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England.

“Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), United Kingdom dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA),” katanya.

Dalam kenyataan sama, TH memaklumkan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa pada 5 Mei.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof berkata, beliau yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Amrin akan dapat membawa TH ke tahap lebih cemerlang dan membanggakan.

Artikel Berkaitan:

Md Nor turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nik Mohd Hasyudeen atas komitmen serta usaha beliau dalam memajukan TH sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.