X

Kindly register in order to view this article
!

Bot karam: Maritim Malaysia mohon bantuan Polis Marin Thailand

Khairun Dalilah (kanan) menunjukkan lokasi pencarian yang sedang dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Maritim Malaysia Kelantan dalam usaha mencari mangsa ketiga bot karam di perairan Kuala Besar.
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menjalin kerjasama dengan Polis Marin Thailand dalam usaha mengesan seorang lagi mangsa bot terbalik di perairan Kuala Besar pada Sabtu lalu yang masih belum ditemukan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, Maritim Malaysia Kelantan telah berhubung dengan pasukan berkenaan supaya mereka peka dengan penemuan sebarang objek.

"Bagaimanapun setakat ini pihak Thailand memaklumkan mereka masih belum menemui sebarang petunjuk.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir Zulhasmi Danial Zulazman, 26, sudah masuk hari kelima melibatkan keluasan berjumlah 355.65 batu nautika persegi," katanya kepada pemberita di Jeti Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali, di sini pada Rabu.

Menurutnya, SAR itu turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Katanya, operasi tersebut turut dibantu oleh pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan serta komuniti maritim.

Khairun Dalilah mengakui, Maritim Malaysia Kelantan berdepan sedikit kesukaran kerana mangsa yang terselamat gagal memberikan lokasi tepat insiden bot itu karam.

Katanya, setakat ini Maritim Malaysia masih belum mempunyai sebarang petunjuk yang dapat membantu SAR itu.

"Maritim Malaysia Kelantan akan menemui keluarga mangsa yang masih hilang untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi memutuskan sama ada SAR akan dihentikan atau sebaliknya berpandukan kepada prosedur serta pertimbangan yang perlu diselaraskan.

"SAR lazimnya digerakkan dalam tempoh lima hingga tujuh hari berasaskan ketahanan hayat dan fizikal manusia yang tenggelam ke dasar laut selain faktor ancaman hidupan laut," katanya.

Khairun Dalilah berkata, bagaimanapun Maritim Malaysia menghormati dan bersedia menimbang permintaan ahli keluarga mangsa untuk meneruskan SAR.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua mangsa bot terbalik ditemui


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!