Gaduh kerana cemburu awek bonceng motosikal lelaki lain

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di Kampung Gajah.
Tangkap layar video memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di Kampung Gajah.
A
A
A

PASIR SALAK - Gara-gara cemburu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dibelasah di sebuah gerai kosong bersebelahan Stadium Mini Bola Sepak Kampung Gajah, di sini Selasa minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang yang tular di media sosial itu memaparkan tujuh lelaki telah memukul dan menendang mangsa sambil dirakam salah seorang suspek.

Video bertajuk 'Kes buli dan pukul budak beramai-ramai di Kg Gajah Perak' itu menunjukkan mangsa tidak membalas pukulan suspek menyebabkan mangsa mengalami kesakitan di bahagian perut akibat ditendang semasa kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, polis menahan 10 remaja berusia 13 hingga 18 tahun termasuk seorang pelajar perempuan bagi membantu siasatan pada Selasa.

"Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan mangsa menunggang motosikal sambil dibonceng remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek berusia 13 tahun.

"Keadaan itu telah menimbulkan kemarahan dan cemburu terhadap mangsa sehingga berlaku pergaduhan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana pusat perubatan selepas kejadian.

"Tiada kesan kecederaan atau kesan lebam pada badan mangsa. Mangsa menyatakan tidak dipukul menggunakan apa-apa objek semasa kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Tujuh pakaian yang dipakai suspek berdasarkan rakaman video terbabit serta telefon bimbit yang digunakan untuk merakam kejadian telah dirampas," katanya.

Anuar berkata, kesemua suspek termasuk mangsa ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.