Vaksin AstraZeneca akan diberikan secara sukarela

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMASKINI] Kerajaan akan memulakan pemberian suntikan vaksin jenis AstraZeneca kepada mereka yang mendaftar secara sukarela di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang ramai yang mendaftar secara sukarela di PPV berkenaan akan diberikan vaksin itu berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.

Katanya langkah itu dibuat bagi menangani ketakutan dan kegusaran rakyat terhadap vaksin itu, selain tidak mahu mengganggu program imunisasi yang sedang berjalan.

“Saya dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) telah berbincang dengan teliti tentang AstraZeneca... kita tidak mahu membazirkan vaksin yang berkesan dan selamat ini tetapi dalam masa sama kita memahami bahawa sains dan juga fakta tidak dapat mengatasi kebimbangan orang ramai.

Kita akan membuka PPV khas bagi vaksin ini (AstraZeneca) dan ia tidak akan diberi di PPV biasa... maka mereka yang telah melihat segala data berkenaan vaksin itu boleh tampil untuk mendaftar secara sukarela,” katanya dalam sidang akhbar bersama Dr Adham mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, satu sistem tempahan janji temu akan dibuka kepada sesiapa berusia 18 tahun ke atas dan ia tidak dikhaskan kepada golongan dalam fasa kedua sahaja.

Katanya, kemudahan PPV Khas itu akan dibuka di Selangor dan Kuala Lumpur dan sebanyak 268,800 dos suntikan itu diperuntukkan.

“Untuk permulaan, pemberian vaksin tersebut dibuat di dua negeri ini sebagai pertimbangan untuk kawalan wabak.

Artikel Berkaitan:

Kita akan membuat penilaian saringan pra pemvaksinan di PPV khas tersebut kepada mereka yang mendaftar dan setelah kita dapati mereka layak untuk terima, mereka akan diberikan vaksin tersebut,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang sudah mendapat tarikh janji temu termasuklah warga emas, mereka tidak perlu risau kerana mereka akan diberikan vaksin Pfizer.

Khairy Jamaluddin berkata, hanya AstraZeneca sahaja diberi di PPV khas ekoran kebimbangan terhadap vaksin itu yang mungkin menyebabkan darah beku, dan memandangkan tiada kegusaran terhadap vaksin lain iaitu Pfizer dan Sinovac, kedua-dua vaksin itu akan terus diguna pakai di PPV lain.

Beliau berkata, dos kedua AstraZeneca akan diberikan selang 12 minggu agar lebih ramai individu dapat divaksin di kedua-dua negeri itu.

“Hasil perbincangan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, seperti dipersetujui pemberikan vaksin AstraZeneca ialah selang 12 minggu sebagaimana disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kita jangka bekalan tambahan vaksin AstraZeneca akan sampai pada Mei ini untuk kita berikan dos kedua,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa risiko pembekuan darah daripada vaksin AstraZeneca adalah empat kes dari satu juta vaksin iaitu 0.000004 peratus, berbanding dijangkiti Covid-19 (16.5 peratus), menghisap rokok (0.8 peratus), pil perancang (0.05 hingga 0.12 peratus).

Sementara itu, Khairy juga berkata, vaksin AstraZeneca juga ditawarkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak berikutan kebimbangan negeri itu untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), agar program imunisasi dapat diselesaikan dengan cepat sebelum Ogos tahun ini.