Majikan kena ambil iktibar kes kemalangan di kilang proses balak

Balu mangsa, Nur Hazwani Nadirah Mat Hanipah,28 (tengah) menerima cek bayaran faedah pengurusan mayat di sebuah kilang memproses balak di Jabi,Pokok Sena, pada Ahad lepas.
Balu mangsa, Nur Hazwani Nadirah Mat Hanipah,28 (tengah) menerima cek bayaran faedah pengurusan mayat di sebuah kilang memproses balak di Jabi,Pokok Sena, pada Ahad lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Kemalangan di sebuah kilang memproses kayu balak di Jabi, Pokok Sena di sini, pada awal 4 April lepas hingga mengakibatkan dua pekerja maut dan seorang cedera parah perlu menjadi pengajaran kepada majikan dalam soal memastikan keselamatan di tempat kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kejadian itu memberi pengajaran kepada majikan supaya tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata tetapi menjadikan keselamatan dan memastikan tempat kerja kondusif sebagai agenda utama.

Dalam kejadian itu, tiga pekerja melecur teruk pada anggota badan akibat terkena api yang keluar melalui lubang pintu di bahagian pengumpul habuk premis majikan mereka.

Seorang warga tempatan, Mohd Fahmi Daut, 29, meninggal dunia kira-kira enam hari kemudian selepas menerima rawatan manakala rakannya yang merupakan warga Bangladesh, Md Masudur Rahmah,35, meninggal dunia pada 15 April lalu sementara seorang lagi mangsa warga Indonesia cedera parah masih dalam cuti sakit.

"Sikap mengabaikan pelaburan untuk tujuan keselamatan dan kesihatan pekerja menunjukkan majikan tidak respon kepada hasrat kerajaan agar kemalangan industri dapat diturunkan sehingga cita-cita dalam Misi Vision Zero menjadi kenyataan.

"Majikan seharusnya serius dalam hal ini agar modal insan terbaik dapat dikekalkan seterusnya produktiviti majikan terus mantap dan ekonomi negara semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu Awang menyerahkan cek bayaran faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada balu Mohd Fahmi, Nur Hazwani Nadirah Mat Hanipah,28, pada Ahad lepas.

Tambah beliau, isteri mangsa juga akan menerima bayaran faedah orang tanggungan antara RM1,268.40 hingga RM1,404.30 sebulan sepanjang hayatnya.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes Md Masudur, bayaran faedah pengurusan mayat akan diuruskan selepas selesai urusan penghantaran jenazah mangsa ke negara asalnya pada Jumaat depan yang mana kos pengurusan akan dibiayai oleh majikan dahulu dan majikan boleh menuntut kos pengurusan mayat sehingga RM 6,500," katanya.

Menurutnya, bayaran faedah orang tanggungan akan diberikan kepada waris yang layak melalui kerjasama kedutaan tersebut setelah pengesahan diterima daripada pihak kedutaan Bangladesh.