Sijil palsu: Bimbang warga asing ambil kesempatan

AKHBAR
AKHBAR
A
A
A

Penipuan sijil akademik palsu perlu dibendung segera supaya tidak merebak dan kelak disalah guna warga asing memandangkan Malaysia mengambil pelbagai usaha menjadikan negara sebagai hab pengajian tinggi.

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berpandangan, adalah wajar sesiapa yang menggunakan ijazah palsu dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya," katanya.

Akhbar yang juga penganalisis jenayah berkata, secara umumnya tujuan individu memiliki sijil akademik palsu adalah untuk pengiktirafan dan menunjuk-nunjuk sebagai seorang intelek.

"Tidak kurang juga ada yang mahu menjadi pakar motivasi palsu dan menggunakan gelaran doktor sebagai satu kebanggaan.

"Dengan gelaran doktor yang dijaja itu juga mereka diberi lebih peluang dan keutamaan untuk menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam sesebuah organisasi," katanya.

Sementara itu, Akhbar turut berkongsi mengenai senario penawaran ijazah palsu di negara ini.

"Banyak sindiket terutamanya secara atas talian. Di negara ini juga ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipalsukan oleh sekumpulan rakyat tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Ijazah palsu membabitkan universiti Malaysia mula dikesan susulan kes penipuan untuk mendapat kelulusan USM beberapa tahun lalu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Biarpun kecoh, ijazah palsu masih dijual di Internet

ARTIKEL BERKAITAN: Sijil palsu: 30 hingga 40 kes direkod sebulan

ARTIKEL BERKAITAN: Undang-undang kawal ijazah palsu masih lemah

Menurutnya, selain kes ijazah palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan ijazah palsu lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara.

"Pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri. Syarikat mengenakan harga RM6,500 bagi ijazah Sarjana Muda, RM8,500 (Sarjana) dan RM10,500 (PhD) dalam pelbagai jurusan kononnya diiktiraf lima universiti luar negara, antaranya Universiti Rockhampton, Universiti Harvey International, Universiti Cannington Brook dan Universiti Charles Molnar.

"Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu atas nama Universiti Harvard iaitu pusat pengajian tinggi terbaik di dunia, dengan harga RM120,000," katanya.

Mengulas isu ijazah palsu melibatkan beberapa pemimpin politik di Malaysia, Akhbar berkata, mereka patut malu pada masyarakat, bahkan kepada ahli keluarga yang mengetahui taraf pendidikan dimiliki.

Katanya, masalah penipuan membabitkan sijil akademik palsu ini sudah lama menular di negara ini dan kini senario memiliki ijazah palsu lebih mudah yang boleh dibeli secara atas talian.

Menurutnya, individu yang cederung untuk mendapatkan sijil akademik palsu ialah pelajar yang gagal dalam pelajaran dan menginginkan ijazah serta ahli perniagaan yang mahu mempamerkan kelulusan sarjana muda, sarjana mahupun doktor falsafah.