Malaysia di landasan betul kembali kekayaan negara kepada rakyat

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia kini berada di landasan yang betul bagi mengembalikan kekayaan negara kepada rakyat menerusi pelbagai langkah dan strategi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, seperti yang dapat dilihat peningkatan prestasi ekonomi negara bukan sahaja di atas kertas, tetapi apa yang lebih penting ia dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan di luar bandar.

“Dengan dasar-dasar kewangan yang cekap dan telus, strategi kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini tidak hanya bersifat sementara.

“Ia bukan taktik memberi ‘gula-gula’ yang sering diamalkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan pentadbiran mereka tetapi sebaliknya merangkumi pelan-pelan pembangunan jangka panjang yang lebih efektif dan lestari.

“Di samping program-program yang jangka pendek yang dapat membantu rakyat meneruskan kehidupan ketika menghadapi cabaran wabak Covid-19 kini,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kerajaan mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM189.08 juta kepada pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan peserta FELCRA Berhad (FELCRA) pada Selasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersetuju menyelaraskan pengagihan dividen tersebut sebagai sebahagian usaha kerajaan membantu komuniti pekebun kecil di bawah kedua-dua agensi itu.

Wan Saiful menambah, walaupun setiap hari ada ‘kluster merungut’ yang cuba mencipta persepsi palsu kerajaan PN adalah gagal supaya mereka nampak sepert hero yang bersih, tetapi kerajaan ini terus menempa kejayaan demi kejayaan yang dikongsi dengan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Ini membuktikan kerajaan PN adalah kerajaan cekap dan prihatin,” katanya.