X

Kindly register in order to view this article
!

RM189.08 juta dividen diagihkan

Muhyiddin (tengah)melakukan gimik perasmian majlis penyampaian dividen RISDA dan FELCRA di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur pada Selasa. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM189.08 juta kepada pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan peserta FELCRA Berhad (FELCRA) pada Selasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, dividen itu akan dinikmati seramai 90,071 pekebun kecil RISDA dan peserta FELCRA.

Beliau berkata, dividen RISDA melalui Rancangan Tanaman Baharu Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) RISDA 2020 berjumlah RM82.03 juta bakal disampaikan kepada 31,245 pekebun kecil di seluruh negara pada tahun ini melibatkan keluasan 39,430 hektar.

“Sebanyak RM38.17 juta daripada jumlah itu dibayar kepada seramai 16,080 peserta RTBB dengan keluasan 19,306 hektar, manakala RM43.86 juta dibayar kepada 15,165 peserta TSK melibatkan keluasan 20,123 hektar,” katanya pada Majlis Penyampaian Dividen RISDA dan FELCRA di Ibu Pejabat RISDA di sini pada Selasa.

Majlis penyampaian dividen berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin (kanan) menyampaikan replika cek dividen RISDA kepada Suraji Puniran semasa majlis penyampaian Dividen RISDA dan FELCRA di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur pada Selasa. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Muhyiddin (kanan) menyampaikan replika cek dividen RISDA kepada Suraji Puniran semasa majlis penyampaian Dividen RISDA dan FELCRA di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur pada Selasa. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan agihan zakat korporat RISDA RM2.48 juta untuk diagihkan kepada 4,400 asnaf pekebun kecil dan institusi agama yang telah disenaraikan.

Sementara itu, Abd Latiff berkata, RTBB merupakan rancangan pembangunan tanah kepada tanaman getah bermula sejak tahun 1970-an.

Ujarnya, program itu bertujuan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang memiliki tanah kurang daripada 2.83 hektar.

“Pekebun kecil, peserta dan waris yang layak diberi saham dalam rancangan itu mengikut kelayakan dan menikmati dividen setiap tahun.

“Rancangan TSK pula adalah program tanam semula melalui penyatuan pekebun-pekebun kecil yang diuruskan RISDA Plantation Sdn Bhd daripada peringkat pembangunan sehingga pengeluaran dan pemasaran hasil,” katanya.

Bayaran berperingkat

Sementara itu, Abd Latiff menjelaskan, FELCRA pula mengagihkan dividen RM107.053 juta kepada 58,826 pesertanya di seluruh negara.

Menurutnya, ia merupakan bayaran agihan akhir lebihan keuntungan projek bagi tahun 2020 yang akan dibayar secara berperingkat bermula Selasa.

“Bayaran agihan akhir lebihan keuntungan tahun 2020 ini melengkapkan amalan pembayaran keuntungan tahunan tiga kali setahun bagi FELCRA.

Muhyiddin menyampaikan dividen RISDA kepada Zainal Abidin Hitam semasa majlis penyampaian Dividen RISDA dan FELCRA yang diadakan di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur pada Selasa. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Muhyiddin menyampaikan dividen RISDA kepada Zainal Abidin Hitam semasa majlis penyampaian Dividen RISDA dan FELCRA yang diadakan di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur pada Selasa. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

“Ia membabitkan bayaran interim pertama pada Ogos, bayaran interim kedua pada Disember dan bayaran agihan akhir keuntungan pada April setelah akaun projek siap ditutup bagi tahun berkenaan,” jelas beliau.

Tambah Abd Latiff, agihan akhir lebihan keuntungan tahun 2020 itu adalah hasil keuntungan bersih 890 projek ladang milik peserta yang dimajukan FELCRA.

“Baki 327 projek lagi terdiri daripada projek yang belum berhasil, contohnya yang masih dalam fasa tanaman semula.

Peluang pekerjaan

Dalam pada itu, Abd Latiff menjelaskan, walaupun harga komoditi di pasaran memberangsangkan, FELCRA terkesan dengan pandemik Covid-19 akibat kekurangan tenaga kerja mahir untuk menuai dan memungut hasil sawit di ladang seluruh negara.

Berikutan itu, katanya, FELCRA menyediakan 1,000 peluang pekerjaan sebagai operator penuaian di seluruh negara sejak berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Beliau berkata, gaji asas yang diberikan pula setanding pasaran dengan pemberian elaun yang menggalakkan untuk menarik minat warga tempatan untuk turut serta berbakti kepada tanah.

Dividen tertinggi

Dalam pada itu, penerima dividen RISDA, Suraji Puniran berkata, dividen sebanyak RM4,000 yang diterimanya akan digunakan untuk keperluan keluarganya bagi menyambut Aidilfitri.

Suraju Puniran
Suraju Puniran

“Saya juga akan menggunakannya untuk membantu golongan asnaf seperti orang miskin, anak yatim dan mereka yang memerlukan.

“Saya dapat dividen RISDA ini sejak tahun 2002 lagi. Ia sememangnya banyak membantu meringankan beban. Wang itu saya akan gunakan untuk untuk membiayai pelajaran tujuh anak saya,” katanya yang datang dari Kuala Selangor.

Penerima dividen FELCRA, Zainal Abidin Hitam pula berkata, kadar dividen yang diterimanya pada tahun ini iaitu lebih RM6,000 menjadi antara dividen tertinggi pernah diperoleh sejak beberapa tahun lalu.

Zainal Abidin Hitam
Zainal Abidin Hitam

“Syukur sangat tahun ini kami dapat agak banyak atas usaha pihak pengurusan, staf dan ahli jawatankuasa ladang yang bertungkus lumus memastikan ladang mengeluarkan hasil lumayan.

“Duit ini akan saya simpan untuk kegunaan masa depan memandangkan harga sawit turun naik jadi memang perlu ada tabung kecemasan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!