'Saya akui silap tapi tak perlu mohon maaf'

Dr Faiz ketika ditemubual wartawan Sinar Harian.
Dr Faiz ketika ditemubual wartawan Sinar Harian.
A
A
A

AHLI Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman menjadi topik perbualan hangat baru-baru ini apabila beliau membuat kenyataan panas mengaitkan kluster mahkamah dengan binatang politik.

Isu tersebut menjadi kontroversi sehingga mengundang beberapa kecaman dari pelbagai pihak yang menganggap kenyataan beliau sebagai terlalu kasar.

Antara kecaman yang diterima Faiz adalah beliau merupakan populis politik sehingga ada pemimpin UMNO yang menghantar memorandum bantahan ke ibu pejabat Bersatu menyifatkan kenyataan Faiz biadab dan melampau.

Kepada wartawan Sinar Harian, Nurul Nabila Ahmad Halimy, Muhammad Faiz menjawab setiap spekulasi yang terpalit membabitkan dirinya.

SINAR HARIAN: Apakah komen Faiz apabila dilabel sebagai anjing salakan Bersatu oleh Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanafiah kerana kenyataan mengenai kluster mahkamah adalah binatang politik?

MUHAMMAD FAIZ: Saya tidak terkesan dengan panggilan tersebut kerana apabila kita memasuki dunia politik adalah lumrah jika kita dimaki dan dikecam sebegitu. Namun, ia sebenarnya melambangkan akhlak dan moral orang yang melabel itu.

Mereka yang menggunakan kata kata kesat untuk membalas hujah itu saya anggap tidak matang, adil dan bermoral.

Apabila pihak yang tiada kena mengena dengan isu ini yang bising, bermakna dia terasa dan mungkin sebahagian dari kelompok itu.

Artikel Berkaitan:

Penjelasan saya mengenai istilah binatang politik ini adalah ia bukan bermaksud binatang namun sikap manusia yang dikaitkan dengan politik secara berlebihan.

Sama seperti istilah kaki perempuan, bukan bermakna dia mempunyai kaki seorang wanita, namun ia melambangkan bahawa dia seorang yang suka mempermainkan wanita.

Walaupun penulisan saya dianggap lebih condong kepada pihak kerajaan, namun saya berhujah dengan fakta. Saya berharap pihak sana juga membalas dengan hujahan ilmiah tetapi malangnya mereka terus melabel saya sebagai ‘anjing salakan politik’.

Bagaimana pula dengan tanggapan sesetengah pihak yang menganggap kenyataan Faiz hanyalah permainan populis politik?

Kalau nak kata saya populis, kenyataan yang saya buat adalah berbentuk teguran umum. Pada asalnya saya nak menceritakan tentang usaha kerajaan untuk melawan Covid-19 dan di mana usaha itu sedikit sebanyak cuba diganggu oleh kluster mahkamah.

Namun, saya tidak menyebut nama sesiapa atau parti mana. Cuma tidak menafikan tanggapan umum tentang siapakah pihak kluster mahkamah itu.

Adakah terdapat sebarang tindakan susulan penyerahan memorandum oleh Armand Azha yang parti Bersatu mengambil tindakan terhadap kenyataan Faiz pada Khamis lalu?

Setakat ni belum ada apa apa panggilan atau tindakan dan saya fikir tidak ada keperluan untuk Majlis Pimpinan Tertinggi atau parti ini untuk memberi keprihatinan terhadap isu ini.

Armand Azha dan beberapa pimpinan UMNO menyerahkan memorandum bantahan terhadap Faiz di pejabat Bersatu minggu lalu.
Armand Azha dan beberapa pimpinan UMNO menyerahkan memorandum bantahan terhadap Faiz di pejabat Bersatu minggu lalu.

Saya tidak melanggar sebarang perlembagaan dalam parti mahupun undang-undang negara dan orang ramai juga dapat melihat isu ini hanya di provokasi oleh kelompok tertentu.

Apakah perkembangan terkini laporan polis yang dibuat oleh Faiz terhadap Armand Azha yang dikatakan menyebarkan nombor telefon anda secara terbuka?

Pada hari yang laporan itu dibuat, saya difahamkan kertas siasatan telah pun dibuka dan masih dalam siasatan. Sehingga hari ini, saya tidak diberi maklum atau dipanggil balik untuk keterangan tambahan.

Namun demikian, saya ada mencabar pihak berkenaan di media sosial untuk mengheret saya di mahkamah andai kata saya melanggar undang-undang.

Pada pendapat Faiz, adakah isu ini wajar diperbesarkan kerana ia mungkin mengundang pandangan sensitif beberapa pihak terhadap kenyataan tersebut?

Saya tak berniat memanjangkan hal ini kerana fokus saya adalah kepada usaha-usaha kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat dalam keadaan ekonomi merudum ketika ini.

Jadi benda yang dilihat sebagai perseteruan politik antara parti sesama orang Melayu ini membuang masa dan rakyat sendiri mula menyampah dengan isu sensasi ahli politik di mana kita patut memberi tumpuan kepada isu semasa yang lebih penting.

Tidakkah Faiz merasakan kenyataan berkaitan kluster mahkamah itu terlalu kasar? Wajarkah sebarang permohonan maaf dibuat?

Tidak perlu permohonan maaf daripada saya. Cuma saya akui kesilapan saya di mana ketika saya mengeluarkan perkataan tersebut, ia tidak disusuli dengan penjelasan makna dan definisi binatang politik itu dari sudut ekonomi.

Seharusnya saya memperjelaskan secara terperinci perkataan tersebut agar tidak dimanipulasikan oleh pihak tertentu. Saya juga harus lebih berhati-hati untuk menyentuh istilah yang mungkin kurang didengari oleh masyarakat umum di luar sana.

Ini juga satu pengajaran kepada saya untuk bermuhasabah diri apabila saya nak mengeluarkan apa apa kenyataan selepas ini.