Berbuka puasa sambil kayuh bot pedal

Berbuka puasa sambil mengayuh bot pedal di Taman Rekreasi Air Seremban
Berbuka puasa sambil mengayuh bot pedal di Taman Rekreasi Air Seremban
A
A
A

SEREMBAN - Berbuka puasa sambil mengayuh bot pedal menjadi tarikan baharu untuk pengunjung ke Taman Rekreasi Air Seremban (TRAS).

Keunikan pertama kali ditawarkan oleh pihak TRAS itu memberi satu pengalaman menarik kepada pengunjung terutama kanak-kanak.

Operator Taman Tasik Seremban, Jeffri Ramli berkata, hanya mengenakan bayaran RM25 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak, pengunjung boleh berbuka puasa di atas bot pedal.

"Kita menyediakan lima jenis menu pilihan untuk berbuka puasa antaranya set nasi ayam penyet, nasi hujan panas dan nasi daging.

"Ia sangat berbaloi dan sejak kami mula menawarkan pakej ini minggu lalu ia mendapat sambutan sangat menggalakkan," katanya.

Menurutnya, pada satu-satu masa TRAS boleh memuatkan seramai 50 hingga 60 pengunjung yang berbuka puasa di atas bot pedal dan di tepi tasik.

Menurutnya, soal keselamatan, pengunjung tidak perlu bimbang kerana pihaknya akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

Berbuka puasa sambil mengayuh bot pedal di Taman Rekreasi Air Seremban
Berbuka puasa sambil mengayuh bot pedal di Taman Rekreasi Air Seremban

"Rasanya pengalaman berbuka puasa seperti ini satu-satunya ada di Negeri Sembilan dan pasti ia akan jadi memori manis buat pengunjung.

"Pengunjung juga tak perlu risau soal lokasi untuk solat selepas berbuka puasa kerana lokasi kami berhampiran dengan Masjid Negeri," katanya.

Sementara itu, pengunjung Nur Amelia Sahid, 32, berkata, berbuka puasa bersama keluarga di atas bot pedal sesuatu yang menarik dan perlu dicuba oleh orang ramai.

Pekerja swasta Amysah Mohd Daiyan, 29, pula berkata, berbuka puasa di atas bot pedal itu bukan saja menyeronokkan, malah harga ditawarkan juga berpatutan.

TRAS beroperasi pada Isnin hingga Jumaat mulai jam 4 petang hingga 10 malam manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum dibuka pada 9 pagi hingga 10 malam.

Ia menawarkan 12 bot pedal, dua 'water bike double', tiga 'water becha', dua kayak 'single' dan dua kayak 'double' bagi aktiviti riadah.