PN tiada tanpa pengorbanan Muhyiddin, Azmin, MN: Pas

Kamaruzzaman Mohamad
Kamaruzzaman Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dibentuk tanpa pengorbanan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzzaman Mohamad berkata, kerajaan PN juga tidak akan terbentuk tanpa pengorbanan Pas dan UMNO yang bergabung dalam Muafakat Nasional (MN) bagi membina semula kekuasaan orang Melayu dan bumiputera.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pas mengambil prinsip tetap mendokong MN kerana tanpa MN kerajaan PN akan jatuh semula dan mungkin sejarah hitam di bawah pemerintahan kerajaan PH selama 22 bulan akan berulang kembali.

"Kita mendokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (yang kemudiannya menyertai Bersatu) kerana pengorbanan mereka untuk keluar (daripada) PH dan selepas runtuhnya kerajaan PH untuk bersama MN serta membentuk kerajaan PN.

"Maka sifir mudah untuk kita terus mengekalkan kuasa ini bukan sekadar untuk tujuan berkuasa tetapi untuk menegakkan kedudukan sebagaimana yang diperjuangkan dalam Piagam MN maka Pas mengambil pendirian untuk terus bersama memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-251 bertajuk ‘Kemelut Parti Melayu: Siapa Jadi Orang Tengah' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith dan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai panelis manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Kamaruzzaman berkata, gabungan parti dalam PN dan MN yang membentuk kerajaan memberi impak yang sangat besar terhadap kedudukan kerajaan hari ini malah kerajaan mampu runtuh jika salah satu daripada gabungan PN atau MN keluar daripada perikatan itu.

Artikel Berkaitan:

"Kerana kedua-dua ini memberi impak yang sangat besar kalau satu sahaja keluar dari perikatan ini maka kerajaan ini akan runtuh. Lantaran itu Pas membuat keputusan kita (parti itu) memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN sehingga ke hari ini," katanya.p />