Bekas penyerang kebangsaan Johnny Wong meninggal dunia

Johnny Wong Kong Leong yang mencipta nama sebagai pemain profesional di Australia, meninggal dunia di Amerika Syarikat pada usia 85 tahun, Sabtu lalu.
Johnny Wong Kong Leong yang mencipta nama sebagai pemain profesional di Australia, meninggal dunia di Amerika Syarikat pada usia 85 tahun, Sabtu lalu.
A
A
A

BEKAS pemain kebangsaan, Johnny Wong Kong Leong yang mencipta nama sebagai pemain profesional di Australia, meninggal dunia di Amerika Syarikat pada usia 85 tahun, Sabtu lalu.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Johnny pada mulanya dihantar ke Sydney, Australia oleh ibu bapanya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di Kolej Teknikal Sydney pada April 1958.

Namun jelas kenyataan itu, anak kelahiran Perak itu akhirnya mencipta nama sebagai bintang bola sepak apabila menghabiskan tujuh musim di sana bersama North Side United dalam Liga New South Wales.

"Tidak sampai sebulan berhijrah ke Sydney, Johnny disenaraikan FAM untuk menjalani latihan pusat menjelang Sukan Asia di Tokyo.

"Selain Johnny, tersenarai dalam skuad 18 orang itu ialah Sexton Lourdes, Seah Peng Chiang, Tang Cheok Foo, Kwong Chong Yin, Ng Mun Keai, Mok Wai Hong, Chan Tuck Choy, Chuah Poh Aun, Edwin Dutton, Mok Wai Kin, Rahim Omar, Abdul Ghani Minhat, Woo Ah Wah, Tan Ban Chuan, M Govindarajoo, Talib Ibrahim dan Aziz Ahmad," kata FAM dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebooknya pada Selasa.

Menurut kenyataan itu lagi, Johnny pulang ke Sydney dan menjadi tonggak North Side United yang kemudian bergabung dengan Kelab Sukan Polonia, sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh pendatang berketurunan Poland.

"Nama Johnny diabadikan oleh kelab Polonia sebagai antara tonggak 1960-an. Johnny kemudian berhijrah ke APIA Leichhardt pada 1964. Pada 1966, Johnny mencuba nasib di Hong Kong bersama Tung Sing tetapi kecederaan lutut memaksanya rehat sebelum kembali ke Perak," katanya.

Pada saingan domestik, Johnny muncul wira Perak yang menewaskan Selangor 3-2 pada final Piala Malaya 1957 dengan menyumbat gol kemenangan menerusi satu rembatan deras dari jarak 35 ela yang menyusul sesudah dua jaringan Ramadas Rao.

Artikel Berkaitan:

Genap 10 tahun kemudian, dua serangkai itu sekali lagi membintangi kesebelasan Perak sambil turut ditemani M Karathu, Chan Sze Onn, Foo Fook Chuan dan Yee Seng Choy dengan menewaskan Singapura 2-1 pada edisi pertama Piala Malaysia pada 1967.