Pemuda Umno desak Waytha Moorthy, Ganabatirau dipecat

Wan Agyl Wan Hassan
Wan Agyl Wan Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Umno mendesak kerajaan supaya memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan Exco Selangor, V Ganabatirau Veraman berhubung isu Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Pengarah Strategiknya, Wan Agyl Wan Hassan berkata, sikap perkauman dan berat sebelah kedua-dua pemimpin itu dibimbangi akan menggugat keharmonian negara ini.

“Bagi mengelakkan nama kerajaan dipalit dengan kelemahan dua individu ini, saya mendesak supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk memecat ke dua-dua individu ini daripada jawatan menteri dan Exco Kerajaan Negeri.

“Semestinya kita tidak mahu insiden berdarah 13 Mei 1969 berulang kembali dan biarlah sejarah itu menjadi pengajaran dan pedoman buat kita rakyat Malaysia. Negara ini terlalu indah untuk dibasahi dengan darah kebencian perkauman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kaitkan orang Islam, Exco 'gelabah' edit semula status FB'

[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: Menteri gesa siasatan penuh]

Pada masa sama, Wan Agyl mempertikaikan tindakan Waytha Moorthy menuding jari dan menyalahkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes rusuhan yang berlaku.

“Kenyataan dan tuduhan daripada seorang menteri seperti ini sekali gus menimbulkan seribu satu persoalan iaitu mengapa pula polis yang bertanggungjawab menjaga keamanan dipersalahkan.

Artikel Berkaitan:

“Tidakkah beliau sedar bahawa beliau sekarang berada dalam kerajaan dan ada akses terus untuk menghubungi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan komen dan pandangannya terhadap pasukan polis,” soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan tindakan V Ganabatirau yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman seolah-olah merupakan satu penghinaan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Dengan perasaan angkuh beliau telah mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghasut dan perkauman dengan mengaitkan nama Islam sebagai dalang dalam rusuhan yang berlaku di kuil itu.

”Ini sama sekali tidak boleh diterima dan ia seolah-olah juga satu penghinaan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai ketua agama di negeri itu,” katanya.