MIC gesa KDN tubuh IPCMC siasat kematian Ganapathy

Sivarraajh
Sivarraajh
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera bagi menyiasat insiden kematian seorang tahanan reman pada 18 April lalu selepas hampir sebulan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang, Selangor.

Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, insiden kematian mendiang A Ganapathy itu perlu diberi perhatian dan dijawab dengan sewajarnya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Keadilan yang dapat diketengahkan melalui IPCMC bukan sahaja penting untuk memastikan mangsa menerima keadilan, namun juga penting dalam usaha memperbaiki reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 24 Februari lalu, Ganapathy ditahan oleh PDRM bagi tujuan membantu siasatan.

Ibu mendiang, S Thanaletchumy, 60, kemudiannya membuat laporan yang mendakwa mendiang telah dinafikan hak untuk menerima perubatan dan telah dipukul sehingga mengakibatkan kecederaan serius ketika dalam tahanan sehingga mengakibatkan kematian.

Mengulas lanjut, Sivarraajh berkata, selain memastikan satu siasatan bebas di bawah KDN diadakan dengan segera, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga perlu bertanggungjawab memastikan keluarga mendiang tidak terdedah kepada sebarang ancaman akibat pendedahan ini.

Beliau turut melihat insiden melibatkan kematian atau kecederaan yang dialami ketika mangsa berada dalam tahanan polis bukan satu isu yang baharu berlaku.

“Sudah beberapa kali insiden seperti ini berlaku seolah-olah tiada kesudahan sehingga ke hari ini. Suka atau tidak, setiap kali berlakunya kes-kes seperti ini, kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa menjadi semakin terjejas.

Artikel Berkaitan:

“Setiap satu kematian atau kecederaan yang berlaku ketika dalam tahanan perlu dijawab oleh pihak berkaitan, terutamanya KDN dan polis,” jelasnya.