Tiada cadangan buka pintu sempadan negara: Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan Program Iftar Masjid dan Surau DUN Gambir di Masjid Jamek Simpang Lima Darat pada Selasa.
Muhyiddin (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan Program Iftar Masjid dan Surau DUN Gambir di Masjid Jamek Simpang Lima Darat pada Selasa.
A
A
A

TANGKAK - Kerajaan tidak bercadang untuk membuka pintu sempadan negara dalam masa terdekat biarpun terdapat rayuan dikemukakan pelbagai pihak bagi membantu memulihkan ekonomi dan memudahkan pergerakan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan dalam masa terdekat dibimbangi akan menjadi penyebab penularan kes-kes daripada varian yang kuat dan ganas seperti yang dilaporkan dari India.

“Kerajaan masih kekal menutup sempadan negara, walaupun ada rayuan daripada sesetengah pihak agar dibuka untuk membolehkan pergerakan tapi kita telah menimbang daripada pelbagai sudut.

“Kalau buka terlalu awal akan jadi masalah, tetapi kalau tidak dibuka langsung pun seperti sekarang juga menjadi masalah," katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Masjid Jamek Simpang Lima Darat di Bukit Gambir, di sini pada Selasa.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pembukaan sempadan negara merupakan pertimbangan yang agak sukar untuk diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, menerusi mesyuarat MKN pada Isnin, kerajaan telah membuat ketetapan menghalang kemasukan warganegara India bagi memastikan varian dari negara itu tidak menjangkiti rakyat negara ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata rentas negeri juga tidak dibenarkan memandangkan data yang diperoleh menyaksikan penularan akibat daripada aktiviti itu masih tinggi.

“Tidak boleh rentas negeri kerana daripada data yang kita telah kumpul (aktiviti) disebabkan oleh rentas negeri menjadi antara faktor yang menyumbang kepada penularan wabak Covid-19. Sebab itu kita masih kawal (kecuali) rentas daerah kita benarkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Sekatan sementara penerbangan keluar masuk dari India