Sri Pahang FC intai penyerang muda Myanmar

bola
bola
A
A
A

SRI Pahang FC dijangka melakukan rombakan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) dalam usaha menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Skuad Tok Gajah mengharungi kempen yang sukar serta bergelut mencapai prestasi terbaik apabila hanya mencatatkan satu kemenangan dalam 10 aksi Liga Super, sekali gus berada dalam zon penyingkiran di kedudukan kedua tercorot dengan mengutip lima mata.

Menjelang tempoh pendaftaran kedua Liga-M bermula 3 hingga 30 Mei ini, beberapa pemain import sedia ada dijangka meninggalkan Sri Pahang FC sementara terdapat nama baharu mula dikaitkan akan menyertai pasukan itu, antaranya penyerang skuad Bawah 23 (B-23) Myanmar, Aung Kaung Mann.

Menerusi media sosial penjaring terbanyak Myanmar pada Sukan SEA 2019 itu yang kini berada di Kuala Lumpur, dia mengakui akan menyertai Sri Pahang FC dalam masa terdekat, namun pengurusan kelab berkenaan belum bersedia mengulas perkembangan tersebut.

"Kita tidak tolak ada perubahan pemain dalam pasukan, namun fokus kepada perlawanan minggu ini menentang UiTM FC di Kuantan, tiada pilihan lain kecuali mengutip tiga mata penuh.

"Melihat kepada setiap persembahan dan keputusan permainan Sri Pahang FC sebelum ini, sememangnya kita menuntut satu rombakan kepada pasukan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang pada Selasa.

Aung Kaung adalah pemain kelab Myanmar, Ayeyawady United FC yang dipinjamkan ke Khon Kaen United yang beraksi dalam Liga 2 Thailand musim ini dan telah menjaringkan lima gol dalam 16 penampilannya.

Kekalahan ketiga berturut-turut dicatat Sri Pahang FC baru-baru ini menyaksikan mereka mengharungi enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan sejak menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada pertengahan Mac lepas.

Artikel Berkaitan:

Skuad bimbingan Dollah Salleh turut dilihat bergelut di setiap posisi apabila hanya berjaya merekodkan enam gol sementara dibolosi 18 gol selepas 10 perlawanan.