Anwar cadang empat pendekatan kekang varian baharu Covid-19

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan empat pendekatan bagi mengekang varian baharu Covid-19.

Menurutnya, kerajaan perlu meningkatkan pengesanan kontak rapat yang berkesan dan efisien dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.

“Saya juga menyokong agar dilaksanakan pendekatan bekerja dari rumah untuk melindungi diri masing-masing serta keluarga mereka. Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak konsisten juga telah menimbulkan ketidakyakinan kepada pendekatan yang diambil kerajaan.

“Saya juga menyokong untuk ditingkatkan penguatkuasaan aktiviti rentas negeri di kala Ramadan dan semasa sambutan hari raya kelak,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengawal dan mengekang kadar jangkitan juga telah menyebabkan ramai kecewa dengan pendekatan yang diambil termasuk penguatkuasaan terpilih dalam SOP.

“Dengan kadar vaksinasi yang lembab saat ini, kadar penularan yang tidak terkawal tidak mustahil akan berlaku di Malaysia jika kita tidak berhati-hati.

“Kita mesti tingkatkan disiplin untuk memastikan wabak ini menjadi tidak terkawal. Sempadan yang terbuka dan mereka yang melanggar penjarakan sosial menjadi sebab gelombang terbaharu ini.

“Peningkatan kadar jangkitan Covid-19 hari ini akan dijadikan alasan untuk melanjutkan darurat, mengenakan SOP baharu pergerakan dan untuk terus menutup Parlimen,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Anwar mendakwa kegagalan mengemudi negara di kala pandemik termasuk pembaziran, perbelanjaan tanpa semak imbang yang berterusan akan memanfaatkan kroni sambil mengorbankan kepentingan rakyat.

Pada Ahad, hampir 350,000 kes jangkitan dalam tempoh sehari dilaporkan di India dengan 2,600 kematian dan di Turki juga telah menyaksikan peningkatan lapan kali ganda sejak awal tahun ini.