Tindakan sekat kemasukan dari India tiada unsur diskriminasi: PM

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

TANGKAK - [DIKEMASKINI] Keputusan kerajaan menyekat kemasukan dari India ke negara ini bukan berunsurkan diskriminasi atau rasis, sebaliknya mahu mengawal penularan kes Covid-19 varian baharu daripada merebak ke Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu diambil sewaktu beliau mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Isnin.

"Semalam kita buat keputusan, kita sekat atau larang, tak benarkan orang yang datang dari India (masuk). Ini bukan soal rasis atau diskriminasi.

"Ini adalah untuk memastikan supaya varian yang begitu ganas yang dibawa dari sana tidak akan terjangkit ke sini.

"Jadi kita tidak akan membenarkan mereka masuk ke sempadan Malaysia sama ada menerusi darat, laut atau udara," katanya ketika berucap pada Majlis Tahlil dan Penyampaian Sumbangan Ramadan Al-Mubarak Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Masjid Jamek Simpang Lima Darat, Bukit Gambir di sini pada Selasa.

Muhyiddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu turut berkata, beliau ada melihat rakaman video menunjukkan keadaan terkini Covid-19 di India yang cukup dahsyat akibat penularan varian lebih ganas daripada biasa menyebabkan banyak nyawa terkorban.

"Apabila melihat apa yang berlaku di negara India seperti yang saya sebutkan tadi...(seperti) di Brazil (dan) di banyak negara...varian baharu yang telah ditemukan lebih ganas daripada yang asal. Kesemua (perkembangan) ini meletakkan kita dalam keadaan yang cukup mencabar.

"Tak boleh leka satu hari pun, tak boleh...kerana kalau mungkin sehari akan berlaku perkara yang tidak dapat kita fikirkan berlaku dan ini akan membawa kesan kepada nyawa dan ekonomi negara kita,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itu juga, Muhyiddin mengakui kerajaan menghadapi kesukaran dalam membuat pertimbangan mengenai isu pembukaan sempadan meskipun terdapat banyak rayuan oleh pelbagai pihak.

"Sempadan kita masih kekal tutup walaupun ada rayuan oleh sesetengah pihak supaya dibuka untuk membolehkan pergerakan tetapi kita menimbang daripada pelbagai sudut. Mungkin kalau kita buka terlalu awal, ia akan menjadi masalah. Kalau tak buka langsung seperti sekarang pun bermasalah.

"Ini pertimbangan-pertimbangan amat sukar yang saya sendiri terpaksa buat kalau sebahagian besar kes itu dibawa ke sidang khas MKN yang saya pengerusikan,” kata beliau.

Justeru, Perdana Menteri merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya lebih bertanggungjawab dan bersama-sama kerajaan dalam menangani pandemik itu dengan mengikuti arahan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa.

"(Antaranya) cara kita berinteraksi, berurusan, bersosial, menjalankan kegiatan sukan, sekolah dan sebagainya...sekiranya tak dikawal secara rapi dan tak ada penguatkuasaan undang-undang diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini, maka masalah wabak ini tak akan dapat diatasi dalam satu tempoh terdekat,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan rentas negeri masih tidak dibenarkan kerana ia menjadi faktor penyumbang kepada penularan kes Covid-19. - Bernama