Tuduhan salah guna kuasa terhadap Najib menyalahi undang-undang: Peguam

Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) tiba di Mahkamah Rayuan hari ini, bagi pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.- Foto Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) tiba di Mahkamah Rayuan hari ini, bagi pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertuduhan berhubung salah guna kuasa terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd adalah salah dan menyalahi undang-undang, Mahkamah Rayuan diberitahu pada Selasa.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ini kerana bekas perdana menteri itu tidak mempunyai kepentingan peribadi mahupun kewangan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet yang membincangkan jaminan kerajaan untuk SRC mendapatkan pinjaman dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

“Najib, sebagai perdana menteri adalah pengerusi kabinet yang merupakan kerajaan pada masa itu. Hakim bicara Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah 100 peratus terkhilaf untuk membuat kesimpulan bahawa beliau menggunakan kedudukannya untuk sebarang suapan.

“Yang Arif, sebagai perdana menteri ketika itu, Najib adalah first among equals dalam kabinet. Pada akhirnya, kabinet yang akan membuat keputusan secara kolektif.

“Ia bukan keputusan oleh seorang individu (Najib), perdana menteri, menteri kewangan atau wakil Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc),” tegas beliau.

Muhammad Shafee berkata, ia telah menjadi gangguan keseluruhan kerana Najib dikatakan telah mengambil bahagian dalam mesyuarat kabinet pada 2011 dan 2012 untuk mendapatkan bagi pihaknya RM42 juta daripada dana RM4 bilion itu yang disalurkan melalui KWAP kepada SRC.

“Kami berpendapat bahawa tidak ada kaitan antara keputusan yang dibuat untuk meluluskan jaminan kerajaan dan suapan yang dimaksudkan,” katanya sambil menambah Najib telah diprejudiskan dan berada dalam keadaan yang merugikan.

Muhammad Shafee berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan bekas perdana menteri itu terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Artikel Berkaitan:

Turut bersidang Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Pendengaran rayuan itu bersambung pada Rabu. - Bernama