Peranan PPS beri impak positif kehadiran pelajar

Mohd Rosli (tiga kanan) dan Abdul Yunus (empat kanan) menunjukkan tanda bagus selepas selesai menyempurnakan majlis perasmian Majlis Permuafakatan KPM dan Polis: Jom Ke Sekolah 2019 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Panglima Bukit Gantang, di sini pagi tadi.
A
A

PARIT BUNTAR - Peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam kalangan anggota polis boleh memberi impak positif dalam menggalakkan pelajar ke sekolah di Perak, setakat ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Mohd Rosli Ahmad berkata, sehingga bulan Februari, purata kehadiran pelajar ke sekolah-sekolah di seluruh negeri Perak mencapai jumlah 96 peratus apabila PPS ini sentiasa berkolaborasi dengan pihak sekolah.

Menurutnya, angka peratusan itu masih dianggap baik meskipun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan purata kehadiran 100 peratus bagi setiap sekolah di seluruh Malaysia.

"Baki empat peratus tidak hadir itu boleh jadi disebabkan pelbagai faktor seperti tahap kemampuan keluarga pelajar, tahap kesihatan pelajar dan sebagainya tanpa mengambil kira isu salah laku disiplin semata-mata.

Abdul Yunus (tengah) dan Mohd Rosli (kiri) meninjau papan kenyataan PPS yang disediakan di bangunan dewan SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar pagi tadi.
Abdul Yunus (tengah) dan Mohd Rosli (kiri) meninjau papan kenyataan PPS yang disediakan di bangunan dewan SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar pagi tadi.

"Di peringkat kementerian, kita sudah mencuba pelbagai kaedah bagi memastikan baki empat peratus pelajar terbabit dapat kembali menghadiri sekolah.

"Namun, perkara paling penting, inisiatif kerjasama dengan polis dengan meletakkan seorang pegawai polis di setiap sekolah sebagai PPS ternyata mengurangkan salah laku pelajar di sekolah terutama aktiviti ponteng sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Permuafakatan KPM dan Polis: Jom Ke Sekolah 2019 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Panglima Bukit Gantang, di sini pagi tadi.

Majlis dirasmikan Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari.

Mohd Rosli (tiga kanan) bersama Abdul Yunus (dua kanan) menyantuni pelajar SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar yang hadir ke sekolah seawal jam 6.50 pagi.
Mohd Rosli (tiga kanan) bersama Abdul Yunus (dua kanan) menyantuni pelajar SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar yang hadir ke sekolah seawal jam 6.50 pagi.

Turut hadir Timbalan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Kontinjen(IPK) Perak, Asisten Komisioner Ng Kong Soon.

Terdahulu, Abdul Yunus bersama Mohd Rosli dan Kong Soon turut menyertai para guru SMK Panglima Bukit Gantang menyambut kedatangan pelajar sekolah itu di pintu masuk sekolah seawal jam 6.50 pagi.

Sementara itu, Abdul Yunus menyifatkan program permuafakatan sebegini amat penting bagi mewujudkan hubungan lebih mantap di antara pihak sekolah dengan PPS.

Katanya, program ini juga membantu mencegah salah laku disiplin murid sekolah daripada terlibat kegiatan jenayah dan perlakuan menyalahi undang-undang sekolah sama ada di dalam atau di luar sekolah.

"Di samping itu, saya juga menggalakkan sekolah memperluaskan penggunaan papan kenyataan PPS bagi tujuan memaparkan maklumat penting mengenai isu-isu semasa kepolisan kepada warga sekolah dan ibu bapa," katanya.