Covid-19: 17 sekolah di beberapa negeri diarah tutup

Sembilan sekolah di Kedah, tujuh di Pulau Pinang dan satu di Negeri Sembilan diarah tutup sementara susulan terdapat kes Covid-19 di sekolah terlibat. - Foto Bernama
Sembilan sekolah di Kedah, tujuh di Pulau Pinang dan satu di Negeri Sembilan diarah tutup sementara susulan terdapat kes Covid-19 di sekolah terlibat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 17 sekolah lagi diarah tutup sementara susulan terdapat kes Covid-19 di sekolah terlibat.

Ia melibatkan sembilan sekolah di Kedah, tujuh di Pulau Pinang dan satu di Negeri Sembilan.

Di Kedah, Pengarah Pendidikan negeri, Rozaini Ahmad berkata, tujuh sekolah ditutup mulai Selasa hingga Rabu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda; SK Dato Wan Mohd Saman dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Pumpong di daerah Kota Setar; SK Dato Wan Kemara (Kubang Pasu); SK Hj Rahman (Pendang) serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas dan SK Junjong (Kulim).

Beliau berkata, dua lagi sekolah ditutup bermula esok hingga Khamis ini membabitkan SK Iskandar dan SR Integrasi Teras Islam (SRITI) Darul Islam Jalan Kuala Kedah di daerah Kota Setar.

Di Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, tujuh lagi sekolah ditutup pada Selasa menjadikan 27 sekolah di negeri itu ditutup sejak Isnin kerana terdapat kes Covid-19.

"Kami telah mengambil langkah segera mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan bagi sekolah yang ditutup, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berjalan mengikut jadual persekolahan seperti biasa," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Di Negeri Sembilan, SMK Desa Cempaka di Nilai diarah tutup selama dua hari bermula pada Isnin berikutan terdapat warganya disahkan positif Covid-19.

Exco Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan, nasihat dan penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, tujuh buah sekolah di negeri itu diarah tutup sehingga Rabu.

Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyelaraskan SOP sekolah yang disahkan mempunyai kes positif iaitu ditutup dua hari dan PKD akan melaksanakan penilaian risiko sama ada untuk melanjutkan penutupan itu atau tidak.

Ia juga bagi PKD melaksanakan pengesanan kontak rapat dan memantau kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi. - Bernama