Peniaga burger rayu kurangkan kompaun

Peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, menunjukkan notis kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadapnya pada Isnin.
Peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, menunjukkan notis kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadapnya pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga burger mengemukakan rayuan secara rasmi kepada Jabatan Peguam Negara melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa agar mengurangkan jumlah kompaun RM50,000 kerana kesalahan berniaga lebih masa pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Rambutan Rendang, Jalan Panji di sini pada Isnin.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, dan isteri, Norlaili Shafii, 37, hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu pada jam 9 pagi.

Norlaili berkata, mereka membuat rayuan supaya jumlah kompaun yang dikenakan dapat dikurangkan kepada jumlah seminimum mungkin.

Menurutnya, mereka bergantung sepenuhnya kepada pendapatan sebagai penjual burger sejak 15 tahun lalu dan mula membuka gerai burger di hadapan tangga rumahnya sejak setahun lalu.

“Kami isi borang rayuan yang akan dihantar kepada Peguam Negara oleh pihak KKM.

“Pihak pejabat memberitahu akan menghubungi kami apabila status permohonan itu diketahui pada tempoh yang akan diberitahu kelak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir (kiri) dan isteri, Norlaili Shafii (kanan) hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu pada Selasa.
Peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir (kiri) dan isteri, Norlaili Shafii (kanan) hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu pada Selasa.

Beliau berkata, dia amat mengharapkan pertimbangan daripada pihak KKM untuk mengurangkan kompaun kerana berdepan kesempitan kewangan bagi menjelaskan jumlah RM50,000 seperti yang tertera pada notis kompaun.

Artikel Berkaitan:

“Saya berniaga burger pada malam hari sahaja bagi menampung kehidupan kami sekeluarga.

“Banyak bil-bil yang perlu dibayar pada setiap bulan, mana nak cari duit untuk bayar RM50,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara itu.

“KKM belum menerima bayaran kompaun daripada peniaga berkenaan,” katanya.

Pada Isnin, pasangan itu meluahkan rasa terkilan terhadap jumlah kompaun yang dikenakan terhadap mereka kerana kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) akibat berniaga melebihi jam 10 malam.

Mereka didatangi kumpulan penguat kuasa polis pada jam 11.21 malam ketika menyiapkan tempahan pelanggan dari sebuah kilang di Pengkalan Chepa secara dalam talian sebelum dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran barang (COD).

ARTIKEL BERKAITAN Peniaga burger terkilan dikompaun RM50,000