Pemuda PN Melaka rayu kerajaan negeri pertimbang bonus

Ahmad Bilal Rahudin
Ahmad Bilal Rahudin
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka diharap dapat mempertimbangkan pemberian bonus sempena sambutan Aidilfitri akan datang kepada kakitangan kerajaan negeri itu sempena sambutan Aidilfitri akan datang.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas yang mendukacitakan daripada penjawat awam dan pesara susulan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bahawa kerajaan negeri masih belum memutuskan sama ada dapat memberi bonus atau tidak kepada kakitangan kerajaan negeri.

Menurutnya, golongan itu telah berkhidmat serta berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memberikan komitmen yang terbaik kepada negeri dan negara terutamanya bagi menghadapi cabaran pandemik Covid-19 ini.

"Rakyat Melaka khususnya penjawat awam dan pesara kerajaan negeri ini sangat memerlukan sokongan dan dukungan daripada kerajaan dalam menghadapi situasi yang amat mencabar bagi menghadapi pandemik Covid-19.

"Pemberian bonus adalah wajar dan sekurang-kurangnya dapat membantu mereka membuat persiapan hari raya yang akan tiba tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Sulaiman ketika ditemui pada Selasa berkata, setakat ini mesyuarat berhubung pemberian bonus itu belum diputuskan lagi, namun beliau tidak mahu memberikan harapan tinggi kerana pemberian bonus bergantung kepada kewangan negeri.

"Saya boleh janji bagi bonus raya, tapi nanti saya syok sendiri sahaja kalau tak dapat tunaikan.

"Melaka perlu sabar, kerana Melaka tidak seperti negeri lain, dan kalau memang ada (peruntukan) mengapa tidak kita berikan," katanya.

Artikel Berkaitan: