X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki Bangladesh tunjuk kemaluan dalam LRT ditahan

Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan kerana disyaki menunjukkan kemaluan dan beronani di dalam tren LRT.
A
A

SUBANG JAYA - Polis telah menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki menunjukkan kemaluan dan beronani di hadapan seorang wanita ketika berada di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan oleh polis bantuan di Stesen LRT USJ 7 di sini jam 9.30 malam pada Ahad.

"Suspek kemudian diserahkan kepada sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Abd Khalid berkata, dalam kejadian 4 April lalu, mangsa berusia 20 tahun telah menaiki LRT dari Stesen Alam Megah menuju ke Stesen Taman Melawati pada jam 8.30 malam.

"Semasa melalui Stesen USJ 21, suspek telah duduk di kerusi berhadapan dengan mangsa, sebelum suspek menunjukkan kemaluan dan beronani," katanya.

Beliau berkata, suspek telah direman selama 14 hari bermula Ahad hingga 8 Mei ini.

"Kes disiasat Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 /63," katanya.