Tujuh lagi sekolah ditutup di Pulau Pinang

Tujuh buah sekolah di Pulau Pinang ditutup selama dua hari bermula Selasa selepas masing-masing merekodkan sekurang-kurangnya satu kes Covid-19.
Tujuh buah sekolah di Pulau Pinang ditutup selama dua hari bermula Selasa selepas masing-masing merekodkan sekurang-kurangnya satu kes Covid-19.
A
A
A

GEORGETOWN - Tujuh buah sekolah lagi di negeri ini ditutup selama dua hari bermula Selasa selepas masing-masing dilaporkan mencatatkan sekurang-kurangnya satu kes Covid-19.

Penutupan tujuh buah sekolah itu menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang ditutup di Pulau Pinang adalah 27 buah.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad namun beliau enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

Abdul Rashid berkata, sekolah yang ditutup itu melibatkan sekolah rendah dan menengah di kedua-dua bahagian (pulau dan seberang).

"Prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan akan dilaksanakan susulan dengan penutupan sekolah terbabit.

"Sama seperti sekolah lain, penilaian akan dilakukan sebelum tindakan selanjutnya diambil. Sementara itu, sekolah yang terlibat akan melakukan kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Abdul Rashid bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai status 20 sekolah yang ditutup selama dua hari sejak Isnin itu.

Sehingga kini, Pulau Pinang telah melaporkan dua kluster yang berkaitan dengan sektor pendidikan iaitu Kluster Jalan Padang Lalang yang melibatkan Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ahmadi Al-ijtimaiah di Bukit Mertajam dan Kluster Jalan Sungai Daun yang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Nibong Tebal.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, media melaporkan semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan kembali ke PdPR selepas cuti sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Arahan itu melibatkan kira-kira 2.7 juta murid di 7,780 sekolah rendah dan 2.03 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Arahan itu juga akan melibatkan 170,000 pelajar dari sekolah berasrama harian dan kira-kira 100,000 pelajar dari sekolah berasrama penuh, yang akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Langkah itu adalah antara usaha mitigasi yang diumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin dalam mencegah wabak Covid-19 di sekolah, seterusnya melindungi guru dan pelajar dari risiko dijangkiti virus tersebut.