X

Kindly register in order to view this article
!

PGA rampas arak seludup bernilai RM30,000

Suspek bersama sebahagian daripada arak yang dirampas. (Foto: Ihsan PGA)
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan seorang wanita dan merampas pelbagai jenis arak seludup bernilai lebih RM30,000 dalam satu serbuan Ops Kontraban di Taman Desa Jaya, di sini pada Isnin.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari Batalion 5 kira-kira jam 10 pagi hasil maklumat orang awam.

"Dalam serbuan di sebuah premis terbabit, kita telah menahan seorang wanita tempatan berumur 28 tahun dan telah merampas 70 karton arak jenis Beer serta 64 botol arak jenis Liquor pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam bernilai lebih RM30,000.

"Turut dirampas, sebuah kenderaan jenis Nissan Almera yang dipercayai digunakan dalam sindiket pengedaran arak seludup tersebut.

Antara arak seludup yang ditemui dalam kereta milik suspek. (Foto: PGA)
Antara arak seludup yang ditemui dalam kereta milik suspek. (Foto: PGA)

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM127,000. Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas beliau, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh salurkan maklumat terus kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!