[DIKEMASKINI] 2,733 jangkitan baharu, 13 kematian

Sebanyak 2,733 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini.
Sebanyak 2,733 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 2,733 kes baharu Covid-19 dengan 13 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 398,451.

"Sebanyak lima kes import dan 2,728 kes merupakan penularan dalam negara membabitkan 2,481 rakyat tempatan dan 247 warga asing," katanya pada Selasa.

Menurutnya, jumlah kes aktif di seluruh negara adalah 25,414 kes dengan 294 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 138 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kes kematian membabitkan 12 rakyat tempatan dan seorang warga asing.

"Pesakit berumur antara 23 hingga 83 tahun serta mempunyai latar belakang penyakit lain," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes sembuh yang dilaporkan adalah 2,019 kes menjadikan jumlah kumulatifnya 371,575 kes bersamaan dengan 93.5 peratus daripada keseluruhan kes.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, Selangor kekal merekodkan kes tertinggi dengan 750 kes.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah ini, sebanyak 568 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Menurutnya, Kelantan melaporkan 484 kes, Sarawak (432), Kuala Lumpur (377), Johor (220), Pulau Pinang (115), Sabah (82), Terengganu (61), Kedah (51), Negeri Sembilan (39), Perak (38),Pahang (35), Melaka (33), Putrajaya (15) dan Perlis (satu).

Beliau berkata, terdapat 11 kluster baharu yang telah dikenal pasti melibatkan empat kluster sektor pendidikan termasuk dua kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), masing-masing tiga kluster tempat kerja dan kluster komuniti serta satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

"Kluster Pendidikan KPM adalah Jalan Puchong (Selangor), Persiaran Setia Murni (Selangor) manakala kluster pendidikan lain adalah Jalan Sejati (Selangor) dan Cangkat Minden (Pulau Pinang)," katanya.

"Bagi kluster tempat kerja pula dikesan di Jalan Padang Tembak (Kelantan), Jalan Kempas Muar (Johor) dan Teknologi Ayer Keroh (Melaka) manakala kluster komuniti adalah Sungai Tuah (Sarawak), Bandar Baru Sentul (Kuala Lumpur) dan Akar Peluru (Kedah). Sementara itu kluster golongan berisiko adalah Jalan Bukit Emas (Negeri Sembilan)," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kluster yang dikenal pasti sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu adalah sebanyak 1,614 kluster termasuk 1,247 yang telah diisytiharkan tamat.

"Sebanyak 367 kluster adalah kluster aktif dan 72 daripadanya melaporkan kes baharu," katanya.