Keadilan mesti selari dengan ihsan: Tok Mat

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui pihak berkuasa perlu tegas dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP), namun ia juga perlu dilaksanakan secara adil dan bertimbang rasa.

Beliau berharap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pelbagai lagi bentuk SOP itu juga tidaklah sehingga menjadi beban dan menyusahkan rakyat.

"Penguatkuasaan PKP, PKPB dan pelbagai lagi bentuk SOP, janganlah dilaksanakan sehingga menjadi beban dan kesusahan kepada rakyat yang waktu ini benar-benar terhimpit.

"Laksanakan dengan tegas tetapi laksanakan juga dengan adil dan bertimbang rasa. Keadilan di tangan kanan, ihsan di tangan kiri. Tanpa ihsan, maka tiadalah pertimbangan untuk keadilan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat merujuk kepada laporan media kisah seorang peniaga burger di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Kelantan dikompaun RM50,000 pada jam 11.20 malam.

Kompaun berkenaan dikenakan kerana peniaga terbabit selepas didakwa beroperasi melebihi jam 10 malam ketika Kelantan berada dalam tempoh perlaksanaan PKP bagi mengekang penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohamad mempersoalkan bagaimana pemuda itu mampu melunaskan jumlah yang besar dengan hanya berniaga burger malah bagi golongan B40 sepertinya tindakan tersebut pasti sangat membebankan.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat sudah lebih setahun menunggu pengakhiran kepada wabak sukar ini. Janganlah kita pula menambah kesusahan kepada mereka.

"Penguatkuasaan yang adil dan bertimbang rasa adalah sebaik-baik pengajaran serta teladan dan janganlah pula dikuatkuasakan secara terpilih, dengan orang atasan, yang terkenal mendapat layanan berbeza," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga burger terkilan dikompaun RM50,000