Polis sahkan dua portal lapor tajuk berita mengelirukan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan dua portal tempatan telah mengeluarkan tajuk berita yang mengelirukan berhubung kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berhubung isu gurauan rogol, pada Isnin.

Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, mungkin gurauan dalam kenyataan respon kepada wartawan merupakan aspek yang sedang disiasat dan tidak bermaksud isu berkenaan hanya gurauan sebagaimana yang digambarkan kedua portal berita tersebut.

"Tajuk berita mengelirukan oleh kedua portal ini antaranya bertajuk 'Deputy IGP describes threat againts teen as 'maybe' a joke' dan 'Pelajar wanita dihina diugut rogol, Acyrl Sani: Rakan sekelas mungkin bergurau' bertarikh 26 April.

"Kedua-dua tajuk ini mendakwa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani telah menyatakan ugutan rogol sebagai kemungkinan gurauan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, tajuk laporan kedua-dua portal ini amat mengelirukan kerana tidak memberi gambaran tepat mengenai kenyataan sebenarnya yang dibuat semasa sidang media.

"Tajuk laporan yang hanya merujuk kepada sebahagian respon dan menggambarkannya sebagai intipati kenyataan merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

"Ia sekali gus mencemar kredibiliti siasatan polis serta mewujudkan spekulasi negatif terhadap mangsa dalam kes tersebut," katanya.

Menurutnya, tiada mana-mana aspek dalam kes berkenaan yang pernah dianggap sebagai 'gurauan'.

Artikel Berkaitan:

"Polis sentiasa memandang serius setiap laporan polis serta sentiasa memberi komitmen bagi menjalankan siasatan terperinci.

"Kebertanggungjawaban pihak media dalam melaporkan kes sebegini amat diperlukan bagi mengelak persepsi salah terbentuk dalam kalangan masyarakat, sebelum proses siasatan diselesaikan," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan pihak polis menerima dua laporan yang dibuat seorang pelajar berhubung tindakan seorang cikgu jasmani yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur lucah semasa mengajar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dipetik sebagai berkata, laporan pertama berhubung pendekatan yang tidak sesuai digunakan guru terbabit, manakala kedua berkaitan gurauan rakan sekelas berkenaan kes berkenaan.

Sebelum itu, seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Dakwa seorang pelajarnya, kejadian itu berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.

Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar mengesahkan bahawa pengadu mendakwa guru berkenaan menyebut elemen rogol di dalam kelas, sekali gus mendatangkan kegusaran dan rasa tidak senang hati.