Buat permohonan kepada CITF jika mahu dapatkan vaksin awal

Dr Adham bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2021 di Kementerian Kesihatan pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Adham bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2021 di Kementerian Kesihatan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mana-mana pihak yang mahu menjadi golongan lebih awal untuk menerima vaksin Covid-19 termasuk pengamal media boleh mengemukakan permohonan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat masa ini belum menerima sebarang senarai maklumat daripada pihak media dan sekiranya ada permohonan, KKM akan mengemukakannya kepada CITF untuk tindakan lanjut.

Dr Adham berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah disusun secara sistematik mengikut fasa yang ditetapkan, manakala permohonan untuk menerima vaksin awal akan dilakukan berdasarkan metrik dan kaedah tertentu oleh CITF.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan di sini pada Selasa susulan kenyataan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia yang meminta penjelasan kerajaan dalam isu pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pengamal media berikutan laporan yang mendakwa kakitangan sebuah organisasi media sudah menerima vaksin.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, kerajaan telah bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin Covid-19 tertakluk kepada bekalan vaksin mencukupi. - Bernama

Artikel Berkaitan: