Segerakan bantuan komputer riba sebelum laksana PdPR

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyegerakan pemberian bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021.

Menerusi satu kenyataan, jawatankuasa berkenaan berkata, bantuan tersebut perlu diberikan kepada semua golongan sebelum Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.

Menurutnya, arahan melaksanakan PdPR merupakan satu langkah wajar memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat, bagaimanapun harus diiringi dengan bantuan-bantuan kemudahan PdPR untuk murid dan guru yang tidak mempunyai kelengkapan.

"Berapa lama tempoh PdPR dilaksanakan sekalipun, yang penting ialah bantuan komputer riba harus disegerakan kepada murid yang memerlukan.

"Langkah ini bagi memastikan proses PdPR memberi keberkesanan yang maksimum kepada semua murid dan guru," kata jawatankuasa berkenaan dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu ditandatangani bersama Dr Maszlee Malik selaku Pengerusi Jawatankuasa serta Nik Nazmi Nik Ahmad mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Parti Amanah Negara).

Dalam kenyataan sama, jawatankuasa terbabit turut menggesa kerajaan memberikan insentif khas kepada guru bagi pembelian data dan alat bantuan mengajar supaya memudahkan urusan PdPR.

"Bagi guru, murid dan ibu bapa yang memerlukan bahan pembelajaran adalah dipelawa untuk menggunakan platform Sophia.my sebagai salah satu alternatif sepanjang PdPR nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, sesi pembelajaran selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Beliau berkata, sesi pembelajaran itu bermula pada 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi menyambut Aidilfitri.