Tiga lelaki ditahan bergaduh

Sebuah teksi rosak selepas dipecahkan seorang lelaki dalam kejadian di Taman Permata, Hulu Kelang pada Isnin. - Foto Tular Facebook
Sebuah teksi rosak selepas dipecahkan seorang lelaki dalam kejadian di Taman Permata, Hulu Kelang pada Isnin. - Foto Tular Facebook
A
A
A

AMPANG - Tiga lelaki ditahan polis selepas terlibat dalam pergaduhan dan pecah cermin kereta di Taman Permata, Hulu Kelang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu dipercayai berlaku selepas seorang penunggang motosikal berusia 49 tahun bertindak menarik keluar pemandu teksi yang dikatakan memberhentikan kenderaannya secara mengejut.

Menurutnya, penunggang motosikal itu telah menegur pemandu teksi berkenaan sebelum berlaku sedikit pertengkaran.

"Penunggang motosikal berkenaan kemudian pulang ke rumah dan kembali ke tempat kejadian dengan membawa sebatang besi disyaki absober kereta lalu memecahkan cermin kereta bahagian belakang teksi dan cermin bahagian pemandu kereta jenis Proton Satria milik adik pemandu teksi itu.

"Selepas itu, pemandu teksi dan adiknya telah pergi ke rumah lelaki terbabit di lokasi berhampiran sebelum memukul serta mengugutnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu polis telah menerima laporan daripada kedua-dua pihak terlibat.

Beliau berkata, pihaknya kemudian telah bertindak menahan pemandu teksi dan adiknya berusia 26 dan 25 tahun atas kesalahan ugutan serta mencederakan, manakala penunggang motosikal terbabit ditahan atas kesalahan khianat.

"Kesemua tangkapan dimohon reman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati penunggang motosikal dan keluarga pemandu teksi ini tinggal di kawasan perumahan yang sama dan mereka mempunyai masalah kejiranan sebelum ini.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya bertimbang rasa dan berhati-hati semasa memandu di jalan raya supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati oleh pengguna jalan raya yang lain.

"Selain itu, orang awam dinasihatkan supaya jangan mengambil tindakan secara terburu-buru atau mengikut perasaan jika ada apa-apa kesalahan sebaliknya membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang boleh diambil," katanya.