Parlimen bakal punyai pusat asuhan kanak-kanak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat asuhan kanak-kanak akan diwujudkan di Parlimen bagi membantu dan memudahkan tugasan anggota Parlimen serta warga kerja yang bertugas semasa Parlimen bersidang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, pusat asuhan kanak-kanak tersebut dijangka beroperasi pada tahun ini.

"Kami telah kenal pasti tempatnya dan akan diubah suai dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Rantau Asia ‘Kepimpinan Politik Wanita: Mewujudkan Perubahan Positif’ di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Katanya, keputusan untuk menwujudkan pusat asuhan kanak-kanak itu adalah selaras dengan dasar kerajaan bagi menggalakkan penyertaan lebih aktif kaum wanita dalam politik, pembuat dasar dan tenaga kerja.

Sementara itu, mengulas perkara sama dalam sidang akhbar selepas melancarkan program tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, pusat penjagaan berkenaan juga bakal memanfaatkan pengamal media wanita yang mempunyai anak kecil tetapi terpaksa bertugas melebihi tempoh biasa semasa persidangan.

“Jika saya sendiri berdepan masalah penjagaan anak, kalian juga berdepan masalah sama, Justeru kita mulakan di Parlimen. Ia perlu bermula di sini (Parlimen),” katanya.

Mengulas isu berkaitan, Yeoh berkata kira-kira 500 pejabat kerajaan di seluruh negara belum menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak.

Katanya ada dua faktor utama yang menyumbang kepada perkara tersebut iaitu ketiadaan dana dan ruang memandangkan banyak pejabat kerajaan merupakan bangunan yang disewa.

Artikel Berkaitan:

“Kami sedang menjalankan audit dan berbincang dengan setiap agensi dalam usaha membantu mereka melaksanakan perkara ini,” katanya.

Yeoh berkata amat penting perkara tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan tenaga kerja.

“Ada yang tidak kena jika duit untuk buat lawatan sambil belajar, mesyuarat dan persidangan cukup tetapi untuk tubuhkan pusat asuhan tidak cukup,” katanya.

Merujuk jumlah wanita dalam Parlimen, Yeoh berkata pada masa ini wanita hanya merangkumi 14.4 peratus atau 32 orang daripada 222 anggota Dewan Rakyat sementara di Dewan Negara pula ada 13 wanita daripada keseluruhan 67 senator.

Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, wanita cuma merangkumi 11.3 peratus atau 57 orang daripada 505 anggota DUN di seluruh negara, katanya. - Bernama