X

Kindly register in order to view this article
!

RM69.9 juta peruntukan bantu pekebun kecil, penoreh getah: PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) hadir pada Majlis Penyampaian Dividen Risda dan Felcra 2021 di Ibu Pejabat Risda hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sejumlah RM69.9 juta diperuntukkan kerajaan untuk Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini sebagai usaha berterusan memelihara kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan memanfaatkan seramai 232,319 orang pekebun kecil.

"Usaha berterusan dilaksanakan bagi memelihara kebajikan pekebun kecil yang menjadi tulang belakang kepada industri getah negara.

"Oleh itu, pada tahun ini kerajaan sekali lagi menyediakan BMT dengan pembayaran RM600 seorang pada kadar RM300 untuk Disember 2021 dan Januari 2022," katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Dividen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Persekutuan (FELCRA) 2021 di Ibu Pejabat RISDA pada Selasa.

Muhyiddin menjelaskan, sejumlah RM129.8 peruntukan dibelanjakan kerajaan untuk pemberian BMT kepada pekebun kecil dan penoreh getah pada tahun lalu.

Menurutnya, pada tahun lalu Bantuan Khas Covid-19 turut disalurkan dengan peruntukan berjumlah RM64 juta.

Sementara itu, katanya, dalam usaha membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan menerusi penanaman getah, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan RISDA memperluaskan skop Bantuan Tanam Semula Getah pada tahun ini.

"Pekebun kini boleh membuat permohonan untuk tanah kosong atau tanah selain bertanam getah. Keluasan tanah yang melayakkan bantuan ini adalah minimum 0.1 hektar hingga maksimum 5.0 hektar.

"Usaha ini bukan sahaja dilihat kepada peningkatan ekonomi pekebun kecil malah kerajaan menyasarkan pengeluaran getah negara dapat ditingkatkan dengan memastikan keluasan tanaman getah kepada 1.1 juta hektar serta mengurangkan tanah terbiar yang tidak diusahakan," katanya.

Beliau berkata, bagi menyokong keperluan industri dan tidak hanya bergantung kepada pengeluaran getah skrap, kerajaan turut menyediakan satu skim yang dikenali Skim Insentif Lateks (SIL).

Kata Muhyiddin, inisiatif itu melibatkan pemberian input pertanian, penyelenggaraan kebun serta insentif upah penoreh pada kadar RM500 per hektar.

"Skim ini diperkenalkan bertujuan menggalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks dan meningkatkan pendapatan sebanyak 30 peratus berbanding penghasilan skrap," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!