Maliau Basin destinasi pilihan 'kaki hiking’

Kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan media Sabah ketika mengadakan aktiviti bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sungai Maliau di sini kelmarin.
 -Foto Bernama
Kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan media Sabah ketika mengadakan aktiviti bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sungai Maliau di sini kelmarin.
 -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Mereka yang berkunjung ke negeri di bawah bayu ini khususnya 'kaki hiking’ pastinya akan teruja dengan Maliau Basin atau Lembangan Maliau, sinonim dikenali sebagai ‘The Lost World of Sabah’.

Terletak kira-kira 300 kilometer daripada pusat bandaraya ini, Maliau Basin yang mempunyai kawasan seluas 588 kilometer persegi adalah kawasan Konservasi Kelas Pertama yang memiliki pelbagai flora dan fauna yang bukan sahaja menjadi pusat penyelidikan tetapi destinasi pelancongan.

Baru-baru ini penulis berpeluang mengikuti rombongan lawatan kerja Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan ke Sabah dan salah satu destinasi yang dipilih adalah Maliau Basin.

Perjalanan lapan jam

Perjalanan bermula dari Kota Kinabalu, menaiki pacuan empat roda ke Maliau Basin Studies Centre, memakan masa kira-kira lapan jam dan perlu melalui beberapa daerah iaitu Penampang, Tambunan, Keningau, Sook, Nabawan, Sapulut sebelum tiba di pintu masuk utama Maliau Basin.

Setiba di pintu masuk utama, kami mendaftar masuk selain menjalani saringan suhu badan, salah satu prosedur operasi standard (SOP) yang wajib diamalkan pada masa kini, memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

Setelah siap mendaftar di pintu masuk utama, penulis dan beberapa lagi anggota rombongan lain meneruskan perjalanan sejauh 27 kilometer ke Maliau Basin Studies Centre yang juga menjadi tempat penginapan kami.

Semasa perjalanan masuk ke kawasan itu, penulis terpegun melihat keindahan khazanah alam semula jadinya yang dianggarkan berusia jutaan tahun, pastinya menyimpan pelbagai misteri. Ia seakan "sebuah dunia tersembunyi" yang masih belum diusik, itulah yang penulis gambarkan melihat sendiri khazanah alam semula jadi ini.

Artikel Berkaitan:

Namun, apa yang penulis lihat itu masih sedikit berbanding keseluruhan "dunia tersembunyi" Maliau Basin, antaranya Air Terjun Maliau Basin yang sangat terkenal dengan rupa bentuknya seperti anak tangga tujuh tingkat dengan ketinggian 18 meter.

Meneroka kawasan air terjun itu bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan mereka yang berhati waja untuk meredah hutan yang memakan masa selama empat hari tiga malam.

Lima air terjun

Kekangan masa menyebabkan penulis tidak berpeluang untuk meredah hutan untuk melihat sendiri keindahan air terjun berkenaan, tambahan cuaca yang tidak sesuai.

Namun, penulis berkesempatan menemu ramah seseorang ‘kaki hiking’ iaitu Alexion Mairin yang berjaya menawan kelima-lima air terjun di Maliau Basin baru-baru ini.

“Perjalanan yang agak sukar dan mencabar, kerana perlu menempuhi hutan tebal serta bukit bukau, ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika itu namun saya berpuas hati kerana berjaya menghabiskan ekspedisi selama empat hari tiga malam pada 30 Mac hingga 3 April lepas,” kata Alexion, 33, yang berasal dari Kampung Tompulan, Telipok berkongsi pengalamannya.

Beliau sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk menawan air terjun Maliau Basin dan membayar sebanyak RM650 untuk mengikuti ekspedisi itu sejak tahun 2020.

“Apabila tiba masanya ekspedisi bermula, saya bergerak seorang diri dari Kota Kinabalu ke Maliau Basin dan bertemu dengan peserta lain di sana. Saya bergerak sendirian dari Kota Kinabalu kerana ekspedisi yang saya sertai adalah ‘random group’ dan tiada seorang pun saya kenali.

“Semuanya ada 20 orang peserta dan kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan disertai seorang jurupandu dan seorang renjer hutan.

"Pada hari pertama, kami memulakan perjalanan bermula pukul 7 pagi sejauh sembilan kilometer dari Kem Agathis ke Kem Ginseng dan sepanjang perjalanan agak mencabar kerana laluan yang berbukit dan banyak pacat,” katanya.

Meredah hutan

Menurut Alexion, setiba di Kem Ginseng sekitar pukul pukul 5 petang (hari yang sama) kumpulan ekspedisi berkenaan menginap selama dua malam di situ dan melakukan pelbagai aktiviti termasuk melawat Air Terjun Ginseng (pada hari kedua) yang terletak 0.5 kilometer daripada tempat penginapan.

Pada keesokan hari iaitu hari ketiga kumpulan ekspedisi itu meneruskan perjalanan sejauh 11 kilometer ke Air Terjun Maliau iaitu air terjun yang sangat terkenal kerana mempunyai tujuh tingkat dan ia memakan masa selama sehari untuk sampai ke kawasan berkenaan.

“Walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu, hujan turun pada sebelah petang dan berasa begitu kepenatan, kami masih perlu meneruskan perjalanan agar sampai ke air terjun berkenaan yang sangat jarang dikunjungi kerana jaraknya yang sangat jauh.

“Pada hari keempat kami berjalan semula menuju ke Kem Nephentes sejauh tujuh kilometer dan dalam perjalanan kami melawat tiga lagi air terjun iaitu, Air Terjun Giluk, Air Terjun Takob Akob dan Air terjun Fowzi,” katanya.

Alexion berkata, pengalaman meredah hutan Maliau Basin selama empat hari tiga malam begitu menyeronokkan, amat berharga dan tidak akan dapat dilupakan, meskipun sangat mencabar dan memenatkan.

“Apa yang saya ceritakan ini hanya 30 peratus daripada pengalaman saya. Saya tidak dapat menceritakan dengan kata-kata keindahan alam semula jadi serta banyak haiwan liar seperti rusa, monyet, gajah, pelbagai jenis bunga-bungaan yang saya tidak tahu namanya, yang dapat dilihat sepanjang perjalanan itu,” katanya. - Bernama