Dua anggota polis tak mengaku minta rasuah

Mohamad Faizal (berbaju hitam) mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan. (Syed Amir (baju putih) mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan meminta suapan secara bersama pada tahun 2016.)
Mohamad Faizal (berbaju hitam) mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan. (Syed Amir (baju putih) mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan meminta suapan secara bersama pada tahun 2016.)
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang koperal dan seorang lagi inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa berhubung pertuduhan meminta wang suapan daripada ejen provokasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Koperal Mohamad Faizal Hashim, 35 dan Inspektor Syed Amir Syed Kamarul Baharim, 36 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama sebagai pegawai badan awam iaitu pegawai polis didakwa meminta untuk diri mereka satu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM1,500 daripada ejen provokasi SPRM yang menggunakan nama Faizal Rahim sebagai dorongan untuk melindungi kegiatan penjualan air ketum.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Restoran Mashitah Tomyam, Kepala Batas pada jam 8.30 malam, 23 Julai 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini yang menawarkan wang jaminan RM30,000 setiap seorang berserta syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan selain kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di ibu pejabat SPRM setiap bulan.

Hakim Ahmad Azhari menetapkan wang ikan jamin RM8,000 setiap seorang dan mengenakan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Mohamad Faizal diwakili peguam, Amrick Singh Sandu sementara Syed Amir diwakili peguam. CP Ang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di mahkamah sama, Mohamad Faizal mengaku tidak bersalah ke atas empat pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM3,500 daripada ejen provokasi SPRM di antara jam 2.05 petang, 25 Julai sehingga jam 6 petang, 6 September 2016.

Tertuduh didakwa sebagai ejen kerajaan Malaysia iaitu anggota polis telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri satu suapan iaitu wang tunai daripada ejen SPRM yang menggunakan nama Faizal Rahim.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut sebagai dorongan untuk tertuduh tidak melakukan satu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya dengan melindungi penjualan air ketum oleh ejen SPRM tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di tiga kedai makan di Kepala Batas dan Bukit Mertajam serta sebuah stesen minyak di Kepala Batas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Selvaranjini dan Siti Mastura Zakaria yang mencadangkan wang jaminan RM20,000 untuk keempat-empat pertuduhan selain syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai selain melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM setiap bulan.

Amrick Singh memohon wang jaminan RM1,000 setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya dikenakan wang jaminan RM8,000 untuk pertuduhan bersama.

Hakim Ahmad Azhari kemudian menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan serta tarikh sebutan pada 28 Mei untuk serahan dokumen.