Rakaman audio: Anwar dipanggil ke Bukit Aman sebagai saksi

Anwar selesai memberi keterangan sebagai saksi di Bukit Aman pada Selasa mengenai rakaman audio tular.
Anwar selesai memberi keterangan sebagai saksi di Bukit Aman pada Selasa mengenai rakaman audio tular.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil ke Bukit Aman pada Selasa sebagai saksi untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio yang didakwa mirip suara beliau dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar yang selesai merakam keterangan kira-kita satu jam setengah memaklumkan beliau memberi keterangan mengikut Seksyen Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Saya hadir memberi kerjasama kepada polis sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung kes audio itu," katanya ketika ditemui media di Bukit Aman pada Selasa.

Anwar bersama peguam, Datuk Sankara N Nair dan Ramkarpal Singh tiba di Bukit Aman pada jam 9.58 pagi.

Anwar berkata, beliau akan memberi keterangan lengkap jika ada pendakwaan.

"Saya juga membangkitkan beberapa perkara antaranya mengapa isu seperti ini mahu dijadikan isu politik... nampak sangat terdesak.

"Apa kaitannya dengan kemelesetan ekonomi, kegawatan politik dan penyalahgunaan kuasa yang ada sekarang," katanya.

Beliau turut membangkitkan tentang penyebaran audio rakaman yang didakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai 'scheme of thing'.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya sebahagian besar saudara dengar melibatkan ugutan, rasuah, lantik (pengerusi) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya... setakat yang saya tahu belum ada siasatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kalau audio itu betul apa masalahnya, soal Anwar

Menurutnya, terkini ada penyebaran rakaman audio yang didakwa suara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai percaturan 'orang beliau' sebagai pegawai kanan polis.

"Jadi saya nak tanya sekali lagi, apakah ada siasatan dalam kes seperti ini yang jauh lebih serius," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dan Anwar menjadi tumpuan selepas rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara mereka tular di media sosial.

Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menerusi panggilan telefon.

Pada 10 April lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, polis akan mengambil keterangan Ahmad Zahid dan Anwar berhubung klip audio itu.

Abdul Hamid memaklumkan kertas siasatan telah dibuka dan salinan audio itu dihantar ke makmal forensik untuk menentukan ketulenannya.