Tiga cucu ubat kerinduan hilang anak, menantu

Zainab (dua dari kiri) yang kini menjaga tiga cucunya Aryan Rizqy (kanan), Areef Radzin dan Arffan Radzin selepas anak perempuan dan menantunya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika ditemui di Kampung Gong Merawang, Marang pada Isnin. - FOTO: BERNAMA
Zainab (dua dari kiri) yang kini menjaga tiga cucunya Aryan Rizqy (kanan), Areef Radzin dan Arffan Radzin selepas anak perempuan dan menantunya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika ditemui di Kampung Gong Merawang, Marang pada Isnin. - FOTO: BERNAMA
A
A
A

MARANG - "Setiap hari mereka akan tanya di mana mummy dan daddy, saya hanya mampu jawab mereka ada di syurga," kata Zainab Mamat, 63, nenek kepada tiga beradik yatim piatu.

Zainab berkata, meskipun sedih dengan kemalangan tragis yang menimpa arwah anak perempuan Surawati Mohd, 33, dan menantunya Muhammad Noor Idham Ramli, 31, dua tahun lepas, kehadiran tiga cucu lelakinya itu sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan terhadap mereka.

"Sekarang saya ayah dan ibu untuk tiga beradik ini bermanja. Doakan saya diberi kesihatan yang baik dan panjang umur untuk terus mencurahkan kasih sayang kepada mereka semua," katanya yang bersyukur kerana nasib tiga cucunya itu masih mendapat perhatian banyak pihak termasuk rakan-rakan arwah anaknya hingga kini.

Beliau ditemui pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) sempena program Ziarah Kasih Ramadan KAWAT di Kampung Gong Merawang dekat Rhu Muda, di sini pada Isnin.

Tiga beradik itu, Aryan Rizqy, 8, Areesh Razeen, 6, dan Arfan Rakeen, 4, kini tinggal bersama Zainab dan dua lagi ibu saudara mereka di rumah tersebut. Ibu bapa mereka terkorban akibat kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban dekat Muadzam Shah, Pahang.

Lebih meruntun hati, tiga beradik itu sering menceritakan kenangan indah melakukan pelbagai aktiviti bersama kedua-dua ibu bapa mereka seperti percutian dan mendaki bukit serta hanya mampu menzahirkan rasa rindu dengan menatap foto dan video pada telefon bimbit milik arwah.

Khairul Azlam (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Zainab (dua dari kiri) pada program Ziarah Kasih Ramadan di Kampung Gong Merawang, Marang pada Isnin. - FOTO: BERNAMA
Khairul Azlam (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Zainab (dua dari kiri) pada program Ziarah Kasih Ramadan di Kampung Gong Merawang, Marang pada Isnin. - FOTO: BERNAMA

"Setiap kali melintasi Tanah Perkuburan Islam Seberang Marang di sini, tiga beradik ini akan ucapkan salam kepada mummy mereka dan beritahu mereka mahu pergi sekolah dan melambai tangan dari kejauhan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, Zainab berkata, semuanya dilakukan secara sederhana sahaja namun, tiga cucunya sangat teruja mahu membeli baju Melayu berwarna merah pada tahun ini.

Sementara itu, Presiden KAWAT, Khairul Azlam Mohamad berkata, program Ziarah Kasih Ramadan itu adalah rutin tahunan kelab itu sejak beberapa tahun lepas bagi menyantuni golongan tidak bernasib baik seperti anak yatim piatu, pesakit kronik dan ibu tunggal.

"Ini adalah tanggungjawab sosial media kepada masyarakat kerana peranan media tidak sekadar melaporkan berita sahaja, sebaliknya kami mahu bersama-sama menyelami kesusahan golongan yang memerlukan.

"Hari ini, KAWAT menyampaikan sumbangan RM500 hasil derma daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib tiga anak yatim piatu ini serta sedikit barangan keperluan dapur untuk menceriakan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya. - Bernama