JDT masih dalam kelas tersendiri

Skuad Harimau Selatan kendalian Mora masih mempunyai kualiti terbaik dalam mengekalkan trofi kejuaraan Liga Super musim ini. Gambar kecil: NIDZAM JAMIL
Skuad Harimau Selatan kendalian Mora masih mempunyai kualiti terbaik dalam mengekalkan trofi kejuaraan Liga Super musim ini. Gambar kecil: NIDZAM JAMIL
A
A
A

KEKALAHAN kepada Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu tidak akan menjejaskan reputasi Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai gergasi Liga-Malaysia (Liga-M).

Bekas pengendali Felda United, Nidzam Jamil berkata, skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora itu masih mempunyai kualiti terbaik dalam mengekalkan trofi kejuaraan Liga Super musim ini.

“Hari ini JDT masih lagi dianggap sebagai kelab terbaik dalam saingan bola sepak tempatan kerana mereka memiliki pakej lengkap untuk bergelar juara. Bagi saya, ia bukan isu besar apabila mereka kalah kepada TFC.

“Kita harus ingat bahawa dalam bola sepak ini, kadang-kadang kelab ini ada hari tak baik walaupun telah bermain dengan baik. Mungkin situasi itu dialami JDT pada hari yang berkenaan.

“Cuma ingin saya jelaskan, saya suka cabaran yang diberikan TFC selain Kedah Darul Aman (KDA) FC kepada JDT yang mana ia akan menjadikan persaingan lebih terbuka musim ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada masa sama, Nizam berharap kesemua kelab mampu memberikan saingan hebat kepada JDT, TFC dan KDA FC bagi menambahkan lagi kerancakan Liga Super musim ini.

“Komuniti bola sepak tempatan sebenarnya rindukan detik-detik last minit penentu sesuatu kejuaraan. Sebagai contoh, persaingan antara Manchester City dan Manchester United yang menyaksikan Manchester City menjadi juara EPL pada musim 2011/2012.

“Excitement sehingga hari terakhir inilah yang diharapkan semua penyokong-penyokong bola sepak tempatan. Keghairahan sehingga hari terakhir akhir liga perlu ada bagi menghidupkan serta merancakkan atmosfera Liga-M,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memuji keberanian kebanyakan kelab termasuk JDT dan TFC yang mempertaruhkan beberapa pemain muda dalam kesebelasan utama mereka.

“Jika dibandingkan tiga atau empat tahun lalu, kebanyakan jurulatih sekarang sudah berani memberi ruang kepada pemain muda masing-masing. Saya tabik kepada mereka yang berani menurunkan barisan pemain muda.

“Ini petanda positif kepada skuad Harimau Malaya apabila nama seperti Ramadhan Saifullah, Arif Aiman (Hanapi), Mohamad Hakimi (Abdullah) dan beberapa pemain muda lain diberikan peluang beraksi.

“Mereka sebenarnya memerlukan pendedahan yang akan mematangkan permainan masing-masing apabila diletakkan bersama pemain senior lain. Ia secara tidak langsung akan mempercepatkan proses kematangan dalam permainan mereka,” ujarnya.