Jadikan tsunami Covid-19 di India sebagai iktibar

No Image Caption
A
A
A

SERAM Merak Jalanan lihat gambar-gambar dan video yang dihantar oleh kawan-kawan mengenai keadaan di Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Begitu ramai umat manusia menyerbu pusat jualan untuk persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut dua minggu daripada sekarang.

Nampaknya persiapan untuk menyambut hari raya pada tahun ini tetap meriah seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun kerajaan memberikan bayangan bahawa tiada perjalanan rentas negeri ekoran kes Covid-19 masih belum reda.

Ini membuktikan memang rakyat Malaysia sudah tidak peduli dengan Covid-19 lagi, yang penting sambutan hari raya pada kali ini lebih penting.

Namun apa yang berlaku di India, perlu menjadi iktibar kepada kita semua bahawa Covid-19 ini akan terus mengganas dan belum menunjukkan sebarang tanda-tanda reda dalam waktu terdekat.

Pada awal Mac lalu, Menteri Kesihatan India, Harsh Vardhan mengisytiharkan negara itu ‘dalam permainan akhir’ menentang pandemik Covid-19.

Beliau begitu optimis kerana penurunan drastik jangkitan yang dilaporkan daripada 93,000 kes setiap hari pada pertengahan September 2020, telah menurun kepada 11,000 pada pertengahan Februari lalu.

Bagaimanapun, negara itu kini ibarat dilanda tsunami Covid-19. Dua hari lalu sebanyak 2,624 kes kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah korban keseluruhan mencecah 190,000 kes.

Artikel Berkaitan:

Lebih 340,000 jangkitan baharu turut dilaporkan dalam 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 16.5 juta kes menjadikannya sebagai di negara kedua paling teruk terjejas akibat virus itu selepas Amerika Syarikat.

Adakah rakyat di negara ini bersedia untuk berdepan dengan situasi yang sama? Jika tidak, marilah kita sama-sama memulakan perubahan itu daripada sekarang.