UMNO bakal berdepan defisit kepercayaan kaum Melayu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dikhuatiri bakal berdepan defisit kepercayaan dan hilang undi kaum Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) gara-gara perpecahan serta kegagalan presidennya menyatukan ahli parti walaupun baru sahaja melangsungkan Perhimpunan Agung UMNO.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Kartini Aboo Talib berkata, pelbagai kontroversi yang menyelubungi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejak kebelakangan ini jelas bukan satu imej yang bagus buat UMNO menjelang PRU15.

Menurut beliau, parti Melayu terbesar itu berpotensi hilang majoriti undi Melayu jika Ahmad Zahid kekal bersifat pro PKR di mata pengundi.

“UMNO mungkin dilihat lemah dan tidak berpendirian di bawah kepimpinan Ahmad Zahid. Mereka akan hilang kepercayaan undi kaum Melayu yang masih tak boleh terima kepimpinan DAP masa kerajaan Pakatan Harapan (PH), jadi ada kemungkinan ramai ahli UMNO akan memihak kepada parti Melayu lain yang tidak bersekongkol dengan PKR.

“Terus terang, UMNO kini berdepan defisit kepercayaan Melayu untuk terus memimpin, jadi mereka perlu melakukan perubahan dalaman sebelum PRU15 untuk terus kekal relevan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Kartini Aboo Talib
Kartini Aboo Talib

Belum pun reda kontroversi bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular, Ahmad Zahid sekali lagi mencuri tumpuan apabila melucutkan jawatan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis pada Ahad.

Kartini mendakwa, tindakan Ahmad Zahid melucutkan jawatan Shahidan juga disifatkan memiliki sentimen peribadi gara-gara kelantangan Shahidan mengkritik beliau sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Di Perlis, Shahidan sangat berpengaruh kerana jiwa rakyat dan kesudian membantu rakyat Perlis, UMNO kehilangan tokoh yang tak pernah kalah di Indera Kayangan.

“Shahidan sedia membuka rahsia Ahmad Zahid. Kenyataan itu juga boleh memburukkan imej Presiden UMNO,” ujar Kartini.

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib

Seorang lagi penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, Shahidan ialah pemimpin senior dalam UMNO, justeru penyingkiran beliau bukan sahaja membawa masalah ke atas Perlis tetapi juga Ahmad Zahid sendiri.

“Inilah akibat daripada kelemahan kepimpinan Presiden UMNO.

“Ada dua perkara yang Ahmad Zahid boleh lakukan jika sayangkan UMNO, letak jawatan presiden atau melaksanakan pemilihan parti,” katanya.