Penang FC perlu kekal status elit

Skuad Harimau Kumbang kini mengumpul 19 mata berada pada kedudukan keempat Liga Super selepas mengharungi 10 perlawanan. Foto: PENANG FC
Skuad Harimau Kumbang kini mengumpul 19 mata berada pada kedudukan keempat Liga Super selepas mengharungi 10 perlawanan. Foto: PENANG FC
A
A
A

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mahu Penang FC mengekalkan status Liga Super pada musim depan setelah membuat kebangkitan pada tahun ini.

Menurut Kon Yeow, tahun ini merupakan musim pertama Harimau Kumbang di Liga Super dan mereka telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada awal musim ini.

Katanya, sasaran kerajaan Pulau Pinang adalah supaya skuad Haria Penang Haria dapat mengakhiri Liga Super musim ini di kedudukan enam teratas dan berharap mereka akan dapat kekalkan momentum kemenangan.

"Memandangkan ianya kelab baharu, pemain baharu dengan jurulatih baharu, kita melihat mereka dapat bermain sebagai satu pasukan dengan kombinasi yang baik. Kami telah menyediakan sagu hati RM10,000 kepada Penang FC setiap kali pasukan itu memenangi perlawanan sebagai lonjakan motivasi kepada pemain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan dan Biasiswa Sukan di sini pada Isnin.

Kon Yeow berharap Penang FC akan terus mempamerkan persembahan yang bertenaga dalam perlawanan terakhir pusingan pertama menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

Penang FC berjaya mengumpul 19 mata dan kini di tangga keempat Liga Super selepas bermain 10 perlawanan.

Terdahulu, Kon Yeow menyampaikan bantuan kepada 16 penerima Bantuan Biasiswa Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) di bawah program Penang Athlete Career Education (PACE) merangkumi bantuan insentif pendidikan secara sekali gus dan bantuan biasiswa sukan MSNPP.

Menurut Kon Yeow, penerima hari ini merupakan kumpulan pertama yang akan menerima bantuan memandangkan inisiatif itu baharu dilancarkan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM66,100.

Artikel Berkaitan:

“Dalam usaha untuk membina landasan kerjaya yang progresif untuk atlet negeri, suka untuk saya umumkan bahawa satu program baru di bawah PACE turut akan diperkenalkan iaitu program 'Penang Junior Coaches' dengan tujuan untuk memperkenalkan diri mereka dalam bidang kejurulatihan sebagai suatu landasan kerjaya selain daripada membantu memperkenalkan serta membangunkan sukan di sekolah-sekolah rendah buat peringkat permulaan program ini,” katanya.

Katanya, selain daripada itu, Kerajaan Pulau Pinang melalui program PACE juga menyokong usaha untuk mewujudkan Bantuan Skim Kebajikan Atlet Negeri (SKAN) khas untuk menjaga kebajikan atlet-atlet negeri melalui inisiatif Bantuan Khairat Kematian, Bantuan Rawatan Penyakit, Bantuan Kos Pembedahan dan Bantuan Bencana Alam secara sekali gus.