Ponteng sekolah kes paling tinggi di Negeri Sembilan

Pkharuddin Ghazali
A
A

SEREMBAN - Ponteng sekolah dikenal pasti sebagai kes disiplin paling tinggi dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Pkharuddin Ghazali.

Beliau berkata antara sebab ponteng sekolah ialah faktor kesihatan, membantu ibu bapa, dipengaruhi rakan-rakan selain faktor utamanya ialah pelajar itu sendiri tidak minat ke sekolah.

“Macam mana kita hendak atasinya. Kita mahu pihak sekolah melibatkan pelajar ini (yang ponteng sekolah) dengan program dan aktiviti di sekolah seperti dalam bidang sukan dan kokurikulum, ini akan menjadi penarik kepada pelajar terbabit.

“Jadi, kalau pelajar merasakan seronok dengan perkara itu, dia akan datang ke sekolah...kalau pihak sekolah sudah buat pengisian dan perkara yang pelajar itu boleh terlibat sama, memang dia akan datang ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program 'Jom ke Sekolah' peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (Felda) Seri Sendayan di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Seremban ACP Tiew Hock Poh.

Pkharuddin berkata selain kes ponteng sekolah, trend terkini pelajar juga didapati terbabit dengan kes menghidu gam.

"Berikutan itu, pada 13 Mac ini kita akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mana kita akan kumpulkan semua guru bimbingan kaunseling untuk mendapatkan penjelasan tentang penyalahgunaan dadah daripada AADK," katanya.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan menggunakan ‘tagline’ atau slogan ABC iaitu melahirkan ‘Anak yang Baik lagi Cerdik’ bagi menghindarkan pelajar terjebak dengan jenayah atau salah laku disiplin.

“Ini kerana segalanya bermula daripada seorang pelajar yang baik. Kalau dia baik, dia tidak akan buat salah laku disiplin dan tidak buat jenayah, apabila tiada jenayah dia akan memanfaatkan dirinya untuk masyarakat. Jadi, untuk melahirkan anak ABC ini, ia memerlukan kerjasama semua pihak, ia tidak boleh di sekolah atau di rumah sahaja,” katanya.

Mengenai program Jom Ke Sekolah, Pkharuddin berkata ia merupakan program kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia sebagai usaha menangani permasalahan disiplin dan salah laku murid menerusi kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada anggota dan pegawai polis di semua sekolah kerajaan. - Bernama.